Idea kembara menaiki kereta api ketika percutian keluarga mungkin sesuatu yang boleh dipertimbangkan. Terdapat beberapa buah negara maju yang menawarkan percutian kereta api yang cukup selesa dan mengujakan.

Anda akan disajikan dengan pemandangan yang menakjubkan termasuk pergunungan dan taman yang menghijau sepanjang perjalanan. Bukan itu sahaja, anda juga berpeluang untuk melakukan pelbagai aktiviti atau berehat di tempat duduk dengan ruang tidur yang cukup selesa. Dengan keselesaan yang ditawarkan, jelajah kereta api pasti tidak membosankan.

Buat mereka yang impikan percutian sebegini, jom semak tip melancong untuk menjadikan percutian keluarga dengan kereta api dapat direalisasikan sepenuhnya.

1. CARI LALUAN DAN PENGENDALI KERETA API YANG BERSESUAIAN

Pastikan anda meneliti segala kemudahan yang disediakan oleh pengendali kereta api termasuk tempat duduk, tidur dan makanan yang disajikan. Nak senang, cari sahaja pakej yang menawarkan semua dalam satu.

2. BELI TIKET AWAL

Selain daripada menjimatkan, membeli tiket awal juga dapat memberikan anda banyak pilihan dan mungkin anda boleh mendapatkan keistimewaan yang ditawarkan oleh syarikat pengendali disebabkan pembelian tiket awal.

3. PILIH TEMPAT TIDUR YANG SELESA

Kembara kereta api sememangnya memerlukan anda tidur di dalam kereta api. Jadi, pilihlah tempat tidur yang sesuai buat anda sekeluarga. Pastinya ada di antara bilik yang ditawarkan itu mempunyai tandas peribadi yang sesuai untuk mereka yang bercuti bersama anak-anak.

4. TEMPAH MEJA MAKAN MALAM 

Buat tempahan awal bagi memudahkan anda menjamu selera terutamanya ketika makan malam. Ini juga dapat mengelakkan anak-anak daripada meragam dan tidak dapat tidur lena.

5. PILIH KERETA API YANG MENAWARKAN PELBAGAI PERKHIDMATAN 

Beberapa syarikat pengendali kereta api ada menawarkan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan di dalam gerabak. Jadi, pilihlah pakej yang mempunyai banyak aktiviti supaya anak-anak anda tidak bosan sepanjang pengembaraan.

6. GUNAKAN BEG YANG RINGAN DAN MUDAH DIBAWA

Dalam penyediaan barang atau beg, pilihlah dengan bijak. Gunakan beg yang ringan bagi memudahkan perjalanan anda dan mengelakkan anda dari berasa rimas dengan beg yang besar dan berat. Penggunaan beg beroda dan mempunyai pemegang yang kuat dapat membantu dan memudahkan anda mengendalikannya. Pilih juga beg yang tahan lasak supaya jika beg terjatuh, barang dan beg anda tetap selamat.

 

Sumber: Harian Metro (16 Feb) & Google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen