Sayur-sayuran sememangnya bukanlah kegermaran kanak-kanak. Malah ada juga sesetengah golongan dewasa juga tidak menggemari sayur-sayuran. Sayur-sayuran mampu membekalkan tubuh badan dengan khasiat yang diperlukan sekaligus meningkatkan tahap kesihatan tanpa perlu berbelanja lebih bagi menampung kekurangan zat tubuh menerusi pengambilan makanan tambahan.

Ini adalah jenis sayur-sayuran yang tinggi khasiatnya dan harus dijadikan hidangan seharian.

BAYAM 

Bayam mempunyai pelbagai khasiat termasuklah vitamin A,C dan K, mangan, folat, magnesium, serat, kalsium dan protein. Malah sayuran ini juga rendah kalorinya. Bayam bukan sahaja baik untuk kesihatan jantung, malah ia juga membantu meningkatkan daya ingatan. Kandungan lutein atau sejenis karotenoid di dalam bayam memberikan khasiat kepada mata dan penglihatan. Khasiat serat yang terkandung juga membantu organ pencernaan manakala kalsium dan magnesium membantu menguatkan tulang dan sendi.

PEGAGA

Tumbuhan berdaun kecil yang tumbuh melata ini mempunyai khasiat yang pelbagai seperti protein, serat, zat besi serta vitamin A dan C. Pegaga selalu dijadikan ulam dan ada juga menjadikan pegaga sebagai tonik menyihatkan badan dan mengurangkan panas badan. Pegaga digunakan dalam perubatan tradisional di India untuk menguatkan daya ingatan dan menangani masalah nyanyuk. Dalam perubatan Cina pula, pegaga digunakan bagi menangani selsema, sakit kuning, penawar keracunan cendawan dan gigitan ular. Amalan masyarakat Melayu pula adalah menggunakan air rebusan akar dan daun pegaga bagi mencuci bahagian kemaluan untuk mengurangkan masalah kegatalan dan memelihara kebersihannya.

SAWI 

Sayur sawi seelok-eloknya di kukus atau ditumis. Sawi bermanfaat untuk kesihatan jantung. Ia memang tidak menjadi kegemaran ramai tetapi khasiatnya tidak dapat dinafikan dan kandungan vitamin C di dalam sayur ini adalah tinggi. Sawi adalah pilihan menarik buat mereka yang ingin menjaga kelangsingan badan kerana kandungan seratnya yang tinggi. Sawi juga bermanfaat kepada penghidap diabetes jenis 2 kerana ia akan membantu mengawal tahap kolestrol dan kandungan folatnya boleh membantu perkembangan janin.

BROKOLI 

Sayur ini tergolong dalam sayuran jenis cruciferous termasuk kubis dan bunga kubis. Brokoli ini mempunyai kalori yang rendah dan sumber vitamin C yang tinggi. Malah brokoli juga mengandungi khasiat antioksidan yang cukup baik. Pengambilan brokoli sering dikaitkan dengan pengurangan risiko obesiti, diabetes, penyakit jantung dan menggalakkan pertumbuhan kulit dan rambut yang sihat serta meningkatkan tenaga. Brokoli juga mengandungi kalsium dan vitamin K yang membantu kesihatan tulang dan mencegah osteoporosis.

Sumber: Harian Metro ( 10 April) & Google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen