Bersenam ketika berpuasa? Penatlah nanti!

Ketika berpuasa, ramai yang tidak mahu bersenam dengan alasan letih dan mungkin akan bertanya kembali, kenapa perlu bersenam? Bukankah berat badan akan turun ketika berpuasa? Jadi, tidak perlu lagi bersenam kerana sudah mendapat berat badan yang diingini selepas sebulan berpuasa, kan?

Inilah antara persoalan berkaitan senaman dan puasa yang sering timbul.

Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Saiful Adli Suhaimi berkata pandangan orang ramai bahawa senaman untuk kurus adalah tidak benar sama sekali.

Beliau menjelaskan bahawa bersenam sebenarnya adalah untuk mengekalkan kecergasan badan dan tidak guna mendapat badan yang diingini sekiranya badan tidak cergas.

Anda tidak akan dapat mencapai kesihatan yang optimum sekiranya aspek kecergasan fizikal diabaikan sekalipun ketika bulan puasa. Aktiviti fizikal adalah sama penting dengan faktor pemakanan untuk kekal cergas ketika berpuasa.

Setiap individu yang berpuasa harus melakukan aktiviti fizikal ringan yang berintensiti rendah bagi mengekalkan tahap kesihatan yang sewajarnya dan bukannya menjadikan berpuasa itu sebagai alasan untuk mengelak aktiviti fizikal. Ini kerana, ketika berpuasa, kalori lebih mudah terbakar.

Di bulan puasa ini, ambik peluang untuk menurunkan berat badan dan pilihlah aktiviti yang mudah serta ringan seperti berjalan kaki kerana ia merupakan senaman yang paling senang dilakukan di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa.

Kebaikan Berjalan Kaki 

  • Mampu memproses makanan yang dimakan ketika berbuka untuk digunakan sebagai tenaga
  • Menyihatkan jantung
  • Mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular
  • Merendahkan tahap kolestrol dalam badan
  • Membantu mengawal tekanan darah
  • Mencegah penyakit darah tinggi serta strok
  • Mengurangkan risiko penyakit kanser usus, payudara dan prostat
  • Baik untuk pengidap diabetes kerana ia meningkatkan keupayaan badan untuk memproses gula dengan lebih baik dan membantu pengaliran darah dalam badan
  • Mampu membantu mengawal berat badan buat sesiapa yang mahukan bentuk badan yang menarik
  • Meredakan stress kerana ia boleh merangsang penghasilan hormon endorfin yang membuatkan anda lebih ceria dan sihat
  • Mengekalkan kekuatan  otot dan mengurangkan risiko osteoporosis
  • Membantu kestabilan dan mengurangkan risiko terjatuh bagi warga emas
  • Membantu meningkatkan keyakinan diri
  • Berjalan selama 5 hingga 10 minit mampu memberikan pelindungan kepada beberapa penyakit yang berkait rapat dengan pemakanan

Persediaan Berjalan Kaki 

  1. Mesti dilakukan di trek joging dan memakai pakaian sukan lengkap
  2. Boleh dilakukan di rumah atau di pejabat, di mana-mana sahaja
  3. Cuba parkir kereta di tempat yang jauh sedikit
  4. Perbanyakkan penggunaan tangga berbanding lif
  5. Meminimumkan penggunaan telefon
  6. Jika mempunyai urusan sekitar tempat kerja, disarankan berjalan kaki bagi maksimumkan aktiviti ini
  7. Kurangkan penggunaan alat kawalan jauh televisyen dan peralatan elektrik lain
  8. Melakukan kerja-kerja rumah seperti menyapu sampah, mengemop lantai dan membersihkan halaman rumah
  9. Praktikkan berjalan kaki ketika bersiar-siar atau ke pasar Ramadan
  10. Berjalan kaki ke masjid

Teknik 

  • Bahagian tumit perlu mencecah tanah sebelum bahagian tapak kaki yang lain
  • Tangan perlu dihayun agar badan seimbang mengikut keselesaan
  • Postur badan perlu dijaga dengan menegakkan kepala dan luruskan bahagian belakang badan
  • Bernafas seperti biasa melalui hidung dan mengawal pernafasan
  • Kurangkan kelajuan atau berhenti berehat sebentar jika tercungap-cungap
  • Tetapkan sasaran pada tempoh tertentu untuk meningkatkan atau menurunkan kelajuan
  • Aktiviti berjalan perlu berterusan selama 10 minit atau lebih untuk membantu pembakaran lemak dan kalori dengan berkesan
  • Digalakkan bersenam di kawasan bertutup ketika bulan puasa

Risiko

Bersenam atau melakukan aktiviti fizikal bersesuaian ketika berpuasa memang digalakkan untuk semua peringkat umur tidak kira sesiapa termasuk mereka yang kurang upaya. Namun, ia bergantung kepada tahap kesihatan individu tersebut.

Elakkan daripada memaksa diri dan dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu jika anda mempunyai penyakit tertentu.

Secara kesimpulannya, kombinasi antara pemakan, aktiviti fizikal yang bersesuaian dan rehat secukupnya dapat menjadikan badan kita lebih sihat walaupun ketika berpuasa. Jadikan bulan Ramadan ini sebagai motivasi untuk menjadi cergas dan sihat dengan mengamalkan aktiviti fizikal.

 

Sumber: klik4sihat.com & google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen