Fungsi garam di dalam makanan adalah sebagai perasa. Namun, pengambilan garam yang berlebihan di dalam makanan akan mendedahkan diri kepada risiko tekanan darah tinggi, angin ahmar, barah perut dan masalah kepada ginjal. Ini kerana kandungan garam yang terlalu tinggi akan menyebabkan tubuh menyimpan jumlah air yang banyak dan sekaligus meningkatkan jumlah cecair dalam badan.

Nama umum bagi garam adalah sodium klorida. Sejumlah kecil sodium penting untuk kesihatan kerana kesemua cecair tubuh mengandungi sodium termasuk darah.

Berapa banyakkah garam yang diperlukan? Pengambilan garam mengikut diet umum adalah antara 9-10 gram termasuk ‘garam tersembunyi’. ‘Garam tersembunyi’ merujuk kepada garam yang terdapat di dalam bahan makanan seperti kicap, sos, mayonis, keju, ikan masin, penambah perisa dan kiub perasa. Malah, makanan yang diproses seperti sosej dan makanan dalam tin juga tidak terkecuali daripada mengandungi garam tersembunyi ini.

FUNGSI GARAM 

Selain daripada sebagai penambah perisa makanan, garam juga berfungsi sebagai menyeimbangkan cecair dalam tubuh badan.

Dalam konteks ini, keseimbangan tahap sodium dalam darah adalah penting. Sodium juga penting dalam membantu mengekalkna konsentrasi cecair tubuh pada tahapp yang tepat.

Atau dengan kata lainnya, fungsi garam adalah sebagai peransang elektrik dalam saraf dan otot selain menyeimbangkan tekanan darah normal.

BAHAYA GARAM 

Pengambilan garam perlu diperhatikan kerana jika terlalu banyak, ia akan menyebabkan peningkatan cecair dalam tubuh badan. Ia juga akan menjadi faktor risiko saluran darah pada otak pecah yang menyebabkan angin ahmar jika cecair itu berlebihan berada di otak.

Malah, pengambilan garam yang terlalu banyak juga akan menjadi penyebab masalah koronari arteri dan tekanan darah tinggi bagi jantung. Bagi individu dewasa yang sihat, garam boleh disingkirkan melalui ginjal melalui air kencing.

Bagaimanapun, bayi yang mengambil makanan orang dewasa mungkin tidak berupaya menyingkirkan garam yang terkumpul di badan. Oleh kerana bayi tidak memiliki keupayaan untuk memproses kuantiti garam yang banyak kerana ginjal belum sempurna pembentukkannya, ia akan menjadi punca kepada masalah ginjal, kerosakan hati dan otak serta boleh menyebabkan kematian.

TIP MENGAWAL PENGAMBILAN GARAM

  • Gunakan ramuan semula jadi seperti jus limau atau rempah
  • Kurangkan pengambilan garam dan bahan diawet
  • Kurangkan pengambilan kiub, makanan segera, sos, mayonis dalam masakan
  • Kurangkan pengambilan makanan dalam tin seperti sosej, burger, kekacang
  • Kurangkan mengambil makanan diawet, ikan masin, udang kering, jeruk

MAKANAN TINGGI GARAM 

  • Sos berperisa seperti kicap, sos cili/tomato dan sos tiram – 1,000 hingga 5,000 miligram (mg)
  • Stok/kiub makanan – 3,000 mg. Setiap kiub 700 m
  • Sos salad seperti mayonis – lebih 1,000 mg
  • Makanan dalam tin – 500 hingga 1,500 mg

GARAM DALAM MAKANAN YANG DIAWET 

  • Telur masin – 500 mg
  • Ikan masin – 1,500 mg
  • Buah-buahan jeruk (masin) – 1,000 mg
  • Udang kering – 4, 000 mg
  • Belacan – 1, 000 mg

Sumber: sihatselalu.com.my & Google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen