Tabiat merokok merupakan antara isu utama di kalangan masyarakat di Malaysia. Sehingga kini, tabiat ini gagal ditangani dengan berkesan meskipun pelbagai initiatif telah dijalankan oleh pihak kerajaan.

Kementerian Kesihatan telah menganggarkan 20,000 kematian setiap tahun akibat komplikasi merokok dan sebahagian besarnya merupakan golongan lelaki.

Merokok ternyata memudaratkan kesihatan. Menurut kajian yang telah dilakukan oleh American Cancer Society, merokok merupakan antara penyumbang kepada penyakit buta dan kematian. Wanita yang berusia 35 tahun ke atas dan merokok berkemungkinan tinggi mengalami serangan jantung.

Merokok bukan sahaja membinasakan diri perokok itu sendiri, malah turut melibatkan orang sekeliling yang tidak merokok.

Untuk berhenti merokok memang senang menyebut tetapi susah untuk melaksanakannya. Para perokok sendiri tahu kesan buruk akibat merokok tetapi mereka tidak ambil peduli mengenainya.

Sebenarnya perokok mampu untuk berhenti merokok. Bulan Ramadan adalah bulan yang baik untuk anda memperbetulkan niat anda untuk berubah. Selama sebulan penuh anda menempuh Ramadan dengan tidak makan dan minum termasuk tidak merokok sejak sahur sehingga waktu berbuka, kenapa bulan lain anda tidak mampu melakukannya?

Jom ikuti tip berhenti merokok di bulan Ramadan ini.

NIAT 

Berniat untuk berhenti merokok selama bulan Ramadan diyakini dapat membantu anda mempertingkatkan usaah dengan lebih berbanding pada waktu lain. Ini sekaligus anda akan mendapatkan keberkatan di bulan Ramadan kerana berniat dengan perkara yang baik.

YAKIN DAN SENTIASA POSITIF 

Yakinkan diri anda untuk berhenti merokok dan sentiasa positif dengan keyakinan anda mampu mengubah tabiat buruk tersebut. Fikirkan kebaikan kepada diri sendiri, keluarga serta orang yang berada di sekitar anda jika anda berhenti merokok. Yakinkan diri anda bahawa anda memang boleh untuk berhenti merokok. Mulakan keyakinan anda dengan berhenti membelinya dan akhirnya anda akan berhenti merokok.

SOKONGAN MORAL 

Beritahu niat anda kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang tidak merokok bahawa anda ingin berhenti merokok. Mintalah dorongan daripada mereka dan untuk lebih ekstrem, suruh mereka menampar anda jika anda merokok! Mereka pasti akan menyokong anda sehingga anda berjaya berhenti melakukan tabiat buruk itu.

BINA KOMUNITI 

Wujudkan satu komuniti berhenti merokok di antara perokok dan bekas perokok di kawasan anda. Ajak mereka untuk memberikan 100% komitmen untu berhenti merokok selamanya. Kongsi cerita dan pengalaman serta pendapat masing-masing mengenai kaedah yang berkesan dalam proses untuk berhenti merokok. Jadikan diri anda untuk menjadi pendorong dan pemangkin semangat untuk setiap ahli komuniti.

MENGALIH PERHATIAN 

Alih perhatian anda dari keinginan untuk merokok. Sentiasa fikirkan kesan buruk yang akan berlaku pada diri anda jika anda terus merokok. Lakukan aktiviti-aktiviti lain seperti aktiviti fizikal yang boleh mengalih perhatian anda tentang keinginan tersebut.

Sumber: lelakisihat.com, utaranews.com & Google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen