Pelbagai persoalan terbit daripada para ibu yang sedang menyusu anak mereka. Risau akan kesihatan anak jika tidak mendapat susu yang sepatutnya. Risau juga pada kesihatan diri yang tidak mampu mengeluarkan susu.

Perlukah saya berpuasa semasa menyusu badan?

Anda tidak wajib berpuasa pada bulan Ramadan jika anda sedang menyusu badan. Kebanyakan sarjana Islam percaya bahawa wanita yang sedang menysuu badan seperti juga wanita yang tidak sihat atau sedang bermusafir.

Namun begitu, keputusan untuk berpuasa atau tidak bergantung kepada beberapa perkara dan usia bayi adalah pertimbangan utama. Ada perbezaan di antara bayi yang masih kecil dan menyusu, dengan bayi yang berusia setahun dan sudah makan makanan lain dan hanya menyusu pada waktu malam.

Sebelum membuat keputusan,

  • rujuklah ibu-ibu lain dalam keluarga anda serta rakan-rakan mengenai apa yang mereka lakukan dan pengalaman mereka dalam hal itu.
  • rujuk doktor atau pakar perunding penyusuan.
  • rujuk guru agama atau pejabat agama terdekat.

Adakah berpuasa semasa menyusukan akan membahayakan bayi saya?

Berpuasa semasa menyusukan tidak akan membahayakan bayi anda. Ini kerana badan anda masih boleh menghasilkan susu semasa anda berpuasa. Kurang pengambilan kalori tidak akan menjejaskan jumlah susu yang dihasilkan.

Badan anda akan menyesuaikan diri dengan mengubah cara ia menggunakan kalori yang ada dan membebaskan tenaga dengan lebih baik sebagai tindak balas terhadap kekurangan makanan dan air.

Walaupun wanita yang menyusu badan tidak makan apa-apa selama 24 jam, ia tidak akan menjejaskan kuantiti dan nilai nutrisi susu mereka. Hentikan puasa jika terdapat kesan terhadap badan anda atau ia menjejaskan penghasilan susu anda.

Adakah perubahan dalam susu badan akan memberi kesan ke atas bayi saya?

Tiada kesan terhadap perubahan dalam susu badan anda ke atas bayi anda. Kajian menunjukkan bahawa jika si ibu berpuasa selama 24 jam, kandungan lemak dan susunya tidak akan berubah.

Jenis lemak dalam susu mungkin berubah jika anda makan terlalu sedikit dan berat badan mula turu, tetapi jumlah susu tidak berubah.

Adakah berpuasa semasa menyusu membahayakan saya?

Badan anda biasanya dapat bertahan jika anda berpuasa. Dalam satu kajian, wanita yang menyusu badan didapati mempunyai imbangan kimia dalam darah yang sama dengan mereka yang tidak menyusu badan atau sedang hamil.

Namun begitu, menyusu badan akan membuatkan anda berasa sangat dahaga. Perhatikan tanda-tanda ternyahhidrat ini:-

  • berasa sangat dahaga
  • air kencing berwarna gelap dan berbau kuat
  • berasa seperti hendak pitam, lemah atau lesu
  • mula merasa sakit kepala atau mengalami kesakitan lain

Jika anda mengalami tanda-tanda ini, anda harus berbuka dengan meminum air dan berehat. Jika masih tidak sihat selepas setengah jam, rujuk terus ke doktor anda.

Anda disarankan minum banyak air semasa berbuka dan terutamanya semasa sahur. Anda juga disarankan mengambil makanan yang mempunyai indeks glicemik (glycemic index – GI) yang rendah. Makanan yang rendah GI termasuklah pelbagai jenis sayur-sayuran dan kekacang, kacang pis, mi dan nasi.

Jangan hanya sekadar minum sahaja. Nutrien, kalori dan serat dari makanan juga adalah penting.

Apakah yang boleh saya lakukan untuk mengelakkan sebarang masalah?

Lakukan persiapan untuk berpuasa ini untuk mengelakkan sebarang masalah yang mungkin berlaku:

  • Sebelum berpuasa, beli barang keperluan dan buat kerja-kerja rumah yang lebih berat
  • Catat diari pemakanan anda untuk memastikan anda makan dan minum secukupnya pada waktu malam
  • Pada waktu siang, berehat dan duduk di tempat sejuk sebanyak mungkin

Bilakah saya harus meminta bantuan?

Hubungi dan dapatkan nasihat doktor anda jika anda mula berasa tidak sihat atau bimbang sama ada bayi anda mendapat susu yang cukup atau tidak.

Ini adalah tanda-tanda bahawa bayi anda tidak mendapat cukup susu:-

  • kurang membuang air (bayi baru lahir sepatutnya buang air kecil beberapa kali sehari)
  • najis berwarna kehijauan
  • tangisan yang nyaring dan berpanjangan atau kerap meragam
  • turut berat badan atau berat badan tidak bertambah

Sumber: babycenter.com.my & google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen