Cuaca agak panas ketika di bulan Ramadan. Sedapnya bila teringat minuman dingin lagi menyegarkan. Dengan tekak yang dahaga, hanya mampu membayangkan sahaja. Tiap kali berbuka, air yang sama dijamu. Hanya sekadar sebagai penghilang haus.

Apakata anda mula mencuba resepi baru untuk minuman atau jus yang menyegarkan sepanjang bulan Ramadan ini? Jangan risau, mudah sahaja cara membuatnya. Yang penting baik untuk kesihatan dan dapat menghidratkan tubuh badan anda.

 

Jus Kurma Susu 

Bahan yang diperlukan: 

  • 10-15 biji kurma dibuang biji
  • ½ kotak susu segar
  • 1 cawan air panas
  • 2 sudu gula /gula perang  (kalau mahu kurang manis)
  • Beberapa ketulan ais

Cara membuatnya: 

  1. Rendam buah kurma dalam air panas dalam 15 minit atau sehingga lembut.
  2. Kisar kurma bersama air tadi dan sejukkan dahulu.
  3. Masukkan susu dan ais dalam blender dan kisar
  4. Akhir sekali masukkan jus kurma dan kisar sekali lagi sehingga menjadi seperti milkshake.

Nota: Jus kurma susu bukan sahaja menyegarkan, malah dapat mengembalikan tenaga anda. Jika mahukan perasa tambahan, boleh tambah serbuk kayu manis atau serbuk coklat. Boleh juga gantikan gula dengan madu dan ais krim vanilla sebagai perasa tambahan.

 

Sirap Bandung Soda

Bahan yang diperlukan: 

  • 1/4 cawan ibu sirap
  • Satu cawan gula yang dilarutkan dengan air.
  • 1 tin susu cair
  • Satu jug ketulan ais
  • 1-2  tin aiskrim soda

Cara membuatnya: 

  1. Campur kesemua bahan – sirap, air gula, susu cair dan aiskrim soda dan kacau rata. Kemudian masukkan ketulan ais mengikut citarasa anda. Lagi banyak ais, lagi sejuk dan segar minuman anda.
  2. Untuk rasa yang lebih menyegarkan, anda boleh campurkan daun pudina atau daun pandan dan hancurkan perlahan-lahan ketika mengacau air sirap bandung soda.

 

Soda Herbs

Bahan yang diperlukan: 

  • 1 Botol air aiskrim soda
  • 2/3 batang serai saiz sederhana
  • Sebiji buah lemon
  • 10 helai daun pudina
  • 1 tin buah laici/longan
  • I jug ketulan ais

Cara membuatnya: 

  1. Bersihkan dan potong tangkai hujung serai. Kemudian tumbuk sedikit batangnya.
  2. Masukkan serai-serai tadi di dalam jug, bersama hirisan lemon, daun pudina dan buah laici.
  3. Kemudian tuang air aiskrim soda dan kacau sehingga sebati.
  4. Masukkan ais ketul mengikut citarasa. Simpan di dalam peti ais dan nikmati ketika sejuk.

Selamat mencuba!

Sumber: jelita.com.my & google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen