Siapa yang tidak geram melihat pipi gebu dan badan montel si bayi comel. Semua orang hendak dukung dan cium pipi gebu anak anda. Si kecil yang tidak tahu apa, hanya mampu tersenyum atau paling kurang pun menangis jika dia tidak selesa.

Tetapi, hati-hati lah! Ia sebenarnya mendedahkan anak anda kepada risiko jangkitan kuman dan penyakit.

Sekarang ini macam-macam kuman dan penyakit yang ada di sekeliling kita. Akibatnya banyak kesan buruk dengan kemunculan pelbagai jangkitan penyakit. Antara golongan yang paling berisiko dan mudah menerima jangkitan kuman adalah bayi, kanak-kanak dan orang tua.

1. Kulit Bayi Sensitif

Ada bayi mempunyai kulit sensitif. Bila sahaja orang yang berlipstik mencium pipinya, ia boleh menyebabkan kerengsaan dan kegatalan. Akibatnya kulit bayi tiba-tiba akan menjadi merah dan ruam.

Golongan yang sangat berisiko jika mencium pipi gebu bayi adalah makcik-makcik yang pakai lipstik merah menyala sempena hari raya. Tak pasal-pasal nanti baby menangis dan meragam. Jadi, lebih baik elakkan daripada orang berlipstik mencium bayi anda.

2. Sistem Imun Badan Bayi Tak Kuat

Bagi yang tidak sihat seperti selesema dan batuk, lupakan sahaja hasrat anda untuk menggomol bayi comel. Tengok sahaja dari jauh sambil melambai-lambaikan tangan anda.

3. Bayi Tidak Selesa

Bila sudah ramai sangat ‘peminat’, bayi pun jadi tak selesa. Cubalah bagi ruang dan masa kepada si comel untuk memerhatikan persekitaran barunya.

Kalau semua orang berebut hendak mendukung dan menciumnya, si kecil yang baru hendak mengenal suasana baru jadi tak selesa dan mula meragam. Akibatnya ibu bapa bayi yang jadi kelam kabut bila bayi menangis tak tentu pasal.

4. Bayi Perlukan Rehat

Kadang kala ada orang sengaja tak mahu faham tentang situasi bayi yang memerlukan tidur dan rehat secukupnya. Kalau sepanjang hari asyik didukung dan digomol sahaja, sudah tentu si kecil akan berasa penat dan mudah meragam.

Ini kerana dia tidak mendapat rehat dan tidur yang cukup. Maka, cubalah fahami situasi ini. Janganlah menuduh seseorang itu kedekut kerana tidak membenarkan orang lain mendukung anaknya. Tentu dia ada alasan yang tersendiri.

5. Bayi Akan Mengigau Ketika Tidur

Mungkin pada waktu siang hari bayi kelihatan cukup gembira apabila berjumpa dengan pelbagai jenis orang. Dari satu tangan ke satu tangan bertukar mendukungnya.

Tetapi kadang kala akibat terlalu ramai mengagah, mendukung dan menciumnya, bayi akan meragam dan mengigau pada waktu malam semasa sedang tidur. Akibatnya ibu dan ayah pun jadi susah sebab perlu berjaga malam kerana anak asyik menangis dan mengigau.

Bagi yang ada anak kecil, anda perlulah bertegas dalam hal berkaitan anak. Bukan kedekut untuk membenarkan orang lain mendukung atau mencium bayi kita tetapi sebagai langkah berjaga-jaga.

Maklumlah bila anak sudah dijangkiti kuman dan tidak sihat, kita juga yang susah hati. Maka masing-masing perlulah menghormati pilihan mereka dan perlu tahu had yang sepatutnya.

Sumber: majalahpama.my & google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen