Konsep kerja berpasukan sering diberitahu bagi mencapai kejayaan demi syarikat. Ramai mengakui betapa kerja berpasukan memiliki lebih peratusan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan berbanding jika bekerja secara individu.

Memiliki jumlah ahli pasukan yang ramai belum cukup untuk dijadikan jaminan akan sesebuah kejayaan, sebaliknya ia turut perlu disuntik dengan beberapa elemen penting.

Bagi menghasilkan prestasi kerja yang lebih tinggi, gabungan usaha, pengetahuan, kemahiran serta kebolehan adalah amat dituntut. Setiap ahli kumpulan perlu mempunyai nilai-nilai murni dalam diri mereka dan tidak bergantung harap kepada individu tertentu sahaja.

Kerja berpasukan sebenarnya tidak sesukar yang digambarkan andainya kita memahami syarat-syarat asas yang perlu diikuti. Paling penting sebagai salah seorang ahli, kita sanggup untuk menerima dan turut serta.

Matlamat Sama

Dalam memasang angan-angan untuk mencapai kejayaan berpasukan, hindarkan daripada mengutamakan kepentingan peribadi daripada wujud.

Setiap daripada ahli seharusnya menanam matlamat yang sama mahu mencapai kejayaan demi syarikat. Dalam mengejar matlamat yang ditetapkan, beberapa pengorbanan mungkin terpaksa dilakukan.

Musyawarah / Bawa Berbincang

Bermusyawarah atau berbincang adalah langkah yang tidak seharusnya dipandang enteng dalam mencapai kata sepakat dalam kerja sepasukan, Ia sebenarnya akan banyak membantu dalam mencapai keputusan demi kepentingan bersama.

Pada waktu ini jugalah setiap daripada ahli harus memainkan peranan dan menyatakan apa sahaja sama ada perkara positif atau negatif. Sebelum pertemuan ini berakhir, segala persoalan dan masalah perlu mencapai keputusan yang sebaik-baiknya.

Tanggungjawab Bersama

Nama pun berpasukan jadi setiap daripada ahli harus memiliki rasa tanggungjawab dan amanah dengan tugasan yang telah diagih-agihkan.

Jangan memberikan seribu satu alasan untuk mengelak dan hanya mahu menumpang nama apabila kejayaan telah tercipta. Bak kata pepatah, berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Bagaimana sebuah pasukan itu boleh mencipta kejayaan jika dalam pasukannya terdapat individu yang memandang sepi perjuangan yang sedang dilakukan.

Saling Mempercayai

Dalam kerja berpasukan, sikap saling mempercayai adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan. Benar, bukan mudah untuk meletakkan kepercayaan pada orang lain.

Bagaimana pun tiada salahnya mencuba dan siapa tahu ia mungkin menghasilkan sesuatu yang mengujakan. Ia harus ditanam seikhlas hati kerana ia secara tidak langsung akan menambah keyakinan kepada satu pasukan sekali gus menghasilkan keputusan yang memberangsangkan.

Berkongsi Idea

Jangan lokek berkongsi idea. Meski pun dalam setiap pasukan akan ada ketuanya, namun anda sebagai ahli turut memainkan peranan dalam melontarkan idea-idea bernas. Jangan bebankan bahu ketua dengan semua perkara sedangkan anda hanya berdiri dan mengikut sahaja perancangan yang diaturkan.

Selain itu, jangan ego dan tonjolkan sikap terbuka dalam mendengar serta mempertimbangkan idea ahli-ahli yang lain. Cuba berfikiran positif dan tidak hanya membangkang semua idea yang dilontarkan oleh teman sepasukan. Jika segalanya berjalan dengan lancar, idea yang kreatif dan inovatif pasti akan dapat dihasilkan.

Terap Konsep Saling Membantu

Tidak dinafikan dalam setiap kerja berpasukan, setiap daripada ahli telah dibahagikan dengan tugasan masing-masing. Kebiasaannya mereka yang lebih berpengalaman akan cepat memahami dan melangsaikan tugasan yang diberikan.

Bagi yang masih baru, mereka mungkin mengambil lebih masa untuk menyiapkan kerja. Jadi dalam situasi ini, tidak salah andainya saling membantu kerana akhirnya keuntungan itu pasti akan dapat dikongsi bersama sebagai teman sepasukan.

Bertolak Ansur

Setiap individu dilahirkan dengan ego masing-masing. Perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil dapat dilihat dalam menjalankan kerja berpasukan. Di sinilah pentingnya setiap individu bersikap lebih tenang, neutral dan saling menghormati.

Dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan, pasti akan timbul seribu satu masalah dan adakalanya ia melibatkan sesama ahli. Bagi menyelesaikannya, salah satu pihak perlu bertolak ansur agar tidak memudaratkan keadaan sedia ada.

Sumber: keluarga.my & google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen