Bila sampai pada usia tertentu, sudah tiba masanya untuk anda ajar anak untuk kencing sendiri. Tidak kira untuk anak lelaki atau perempuan, kedua-duanya memerlukan kesabaran dan masa daripada anda.

Untuk anak lelaki, anda perlukan kerjasama dan motivasi. Petanda utama untuk memulakan proses ini adalah anak lelaki anda berminat, sanggup mencuba dan mampu melakukannya secara fizikal.

Walaupun sesetengah anak lelaki bersedia sejak umurnya 18 bulan, ada juga yang belum bersedia sehinggalah mereka masuk tiga tahun. Malahan, sesetengah pakar percaya, anak lelaki lebih lama memakai lampin berbanding anak perempuan adalah kerana mereka lebih aktif dan berkemungkinan tidak sempat berhenti untuk pergi membuang air kecil.

Anda tidak perlu terburu-buru untuk memulakannya, kerana tidak kira awal atau lambat, anda akan dapat mencapai objektif ini.

Sebelum anda memulakan latihan ini, gunakan senarai semak berikut untuk ketahui sama ada si kecil bersedia atau tidak.

  • Menunjukkan tanda perlu ke tandas, seperti menahan kencing atau sakit perut.
  • Tahu menyebut ‘kencing’ atau ‘berak’ dan yang berkaitan dengannya.
  • Boleh duduk diam dalam satu posisi selama dua ke lima minit.
  • Faham akan petanda dia perlu membuang air kecil atau besar, malah mampu menahan hinggalah dia perlu ke tandas.
  • Pandai tanggal dan pakai balik seluarnya sendiri.
  • Tidak suka rasa memakai lampin yang basah atau kotor.
  • Gembira bila dapat mencapai sesuatu.
  • Tidak perlu dipaksa untuk ke tandas.

Berikan dia peluang untuk belajar menerusi pemerhatian sendiri. Dia mungkin perasan yang cara Ibu membuang air kecil, berbeza dengan cara Ayah ke tandas. Dari situ, anda boleh ceritakan cara anak lelaki menggunakan tandas.

Bila menyebut mengenai anatomi tubuh, anda perlu menggunakan istilah yang betul. Mengajarnya menggunakan bahasa kiasan akan membuatnya rasa bahagian itu adalah menjijikkan.

Berikut adalah antara cara yang boleh anda cuba bagi mengajar anak anda membuang air dengan sendiri.

Belinya Alat yang Betul

Bila anak kecil belajar ke tandas sendiri, adalah penting untuknya dapat duduk selesa dengan kaki mencecah lantai terutama jika dia perlu membuang air besar. Anda boleh membelikan tandas kecil khas untuk kanak-kanak supaya dia boleh berasa seperti itu adalah miliknya.

Beri Dia Masa Untuk Rasa Selesa

Mungkin pada minggu pertama, anda boleh benarkannya duduk dengan berpakaian penuh supaya dia dapat membiasakan diri. Selepas dia nampak selesa, ajaknya untuk menanggalkan seluar. Jangan memaksa, jika dia nampak tidak menyukainya, anda boleh gunakan permainan kegemarannya untuk dijadikan model.

Sediakan Jadual

Ianya turut bergantung pada masa anda bersamanya di rumah atau adakah dia dihantar ke pusat jagaan, di mana anda perlu berbincang juga dengan pengasuhnya. Ada kala, anda boleh cuba memakaikannya lampin pada waktu tidur atau gunakan lapik plastik di bawah cadarnya (antara cadar dan tilam) pada waktu malam. Atau, anda mahu terus membiasakannya dengan seluar dalam semata, terpulang pada tahap penerimaan anak lelaki itu, dan juga kesabaran anda.

Raikan Kejayaan

Sudah pasti dia akan ‘tergelincir’ beberapa kali, tetapi lambat laun dia akan mencapai kejayaan. Raikan kejayaan mereka! Beritahu padanya yang dia telah menjadi ‘budak besar’ dengan memberikannya ganjaran ‘budak besar’ yang sewajarnya, sama ada boleh menonton filem kartun kegemaran atau dibawa ke padang permainan lebih lama.

Jika Dia Belum Berjaya

Tak perlulah tunjukkan kekecewaan jika mereka masih belum berjaya. Anda masih boleh cuba dan cuba lagi. Apabila anda memarahi mereka, ia akan membuatkan anak lelaki anda terasa hati dan merendahkan tahap keyakinan dirinya. Anda perlu ingat yang mengajarnya membuang air sendiri sama juga seperti mengajar dia menunggang basikal atau memanjat tangga. Pada mulanya, pastilah ada kepayahan. Lambat laun sudah pasti usaha anda ada hasilnya.

Sumber: jelita.com.my & google (gambar)

 

 

Komen dgn Fesbuk

komen