Setiap daripada kita pasti teruja untuk melawat keluarga atau rakan terdekat yang baru melahirkan bayi. Namun, dalam keterujaan menziarahi ibu baru bersalin dan melawat bayi baru lahir, ramai yang terlepas pandang dengan beberapa perkara penting ini. Kita tentunya tak nak perkara sebegini terjadi kerana takut ada yang bermasam muka pula.

  • BERITAHU TERLEBIH DAHULU

Elakkan datang terlalu awal kerana sesetengah ibu bapa sebenarnya agak keberatan untuk menerima tetamu, lebih-lebih lagi sekiranya keadaan ibu masih memerlukan perhatian atau bayi yang dilahirkan kurang sihat.

Tanyakan terlebih dahulu keadaan mereka, jika kita tidak pasti sama ada mereka bersedia menerima kehadiran tetamu atau tidak. Dan sekiranya anda telah berjanji untuk melawat keluarga tersebut dalam tempoh tertentu, patuhilah masa tersebut.

  • ELAK BAWA AHLI KELUARGA YANG SEDANG SAKIT

Jika ada antara anak anda yang sedang demam, selsema, dijangkiti ruam, atau sebagainya, tangguhkan dahulu melawat bayi baru lahir.

Seperti yang kita tahu, bayi amat sensitif dan mudah terkena jangkitan, lebih-lebih lagi semasa usianya baru menjangkau beberapa hari. Jika terpaksa membawa mereka, pastikan anda memesan supaya mereka tidak terlalu mendekati dan mencium bayi sesuka hati.

  • MEROKOK SEBELUM BERJUMPA BAYI

Seseorang tak sepatutnya merokok apabila mereka mendekati bayi, tak kiralah sebelum berjumpa bayi atau semasa di luar rumah atau hospital.

Walaupun bayi tidak menghidu asap rokok secara terus daripada rokok, bau-bauan yang masih melekat pada baju menandakan partikel kimia itu masih berada pada tubuh anda. Bahkan, asap rokok basi ini lebih merbahaya berbanding asap rokok itu sendiri.

  • BASUH TANGAN KETIKA MAHU MEMEGANG BAYI

Jika anda ingin memegang bayi, pastikan tubuh anda dalam keadaan bersih. Lebih baik jika dapat mencuci tangan sebelum menyentuh dan memegang bayi untuk mengelakkan jangkitan.

  • FIKIR SEBELUM MENCIUMNYA

Apabila anda bersin, batuk, bernafas, termasuk mencium bayi, kuman boleh terbebas dan tersebar kepada orang di sekelilingnya, terutamanya bayi yang masih lemah antibodinya.

Apabila dicium-cium, kuman mudah berpindah dari mulut anda melalui air liur ke pipi atau bibir si kecil.

  • JANGAN KEJUTKAN BAYI YANG SEDANG TIDUR

Kita tidak tahu betapa susahnya ibu bapa cuba menidurkan anak mereka tadi. Oleh itu, tolonglah jangan mengejutkan bayi sekiranya mereka sedang tidur semata-mata untuk mendukung atau mengambil gambar mereka.

Apabila bayi meragam, tentu ibu bapa akan berasa susah hati dan bertambah letih untuk memujuknya nanti.

  • JANGAN AMBIL GAMBAR TANPA KEBENARAN

Walaupun mereka tidur, kita tetap leka dengan gelagat comel mereka. Tapi, sebelum mengeluarkan kamera atau telefon pintar anda, mintalah izin daripada ibu bapanya untuk mengambil gambar anak mereka.

Sesetengah ibu bapa belum mahu memaparkan wajah bayi mereka kepada orang ramai atas sebab-sebab tertentu. Oleh itu, hormatilah pendirian mereka.

  • TAK PERLU LUANGKAN MASA TERLALU LAMA

Beri ucapan tahniah kepada rakan anda, tanyakan khabar, dan berbual-bual ringkas sekadarnya. Walaupun bayi baru lahir selalunya tidur, mereka kerap juga diberikan perhatian.

Selalunya, ibu perlu menyusu badan dengan kerap pada awalnya dan kehadiran tetamu mungkin akan memberi sedikit kesukaran untuk mereka menyusukan bayi dengan selesa.

  • JAGA PERCAKAPAN

Tak perlu beri nasihat sekiranya tidak diminta, lebih-lebih lagi jika si ibu dan ayah kelihatan tidak bermaya. Mungkin mereka belum bersedia menerima sebarang komen yang mungkin merimaskan, walaupun anda seorang yang lebih berpengalaman.

Lebih elok jika anda ucapkanlah perkara-perkara yang baik dan boleh menenangkan hati mereka.

Sumber: mingguanwanita.my & google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen