Punca Hepatitis B adalah disebabkan oleh virus Hepatitis B iaitu HBV. Virus ini boleh didapati di dalam darah dan cecair badan (air mani, air liur serta cecair daripada luka) orang yang telah dijangkiti dan boleh merebak jika anda terdedah secara langsung kepada darah atau cecair badan. Ini boleh berlaku jika anda berkongsi jarum dan picagari atau melalui hubungan kelamin. Wanita yang dijangkiti boleh juga menyebabkan bayi mereka turut dijangkiti oleh HBV.

Tanda-Tanda Jangkitan 

Anda akan mengalami tanda-tanda penyakit ini dalam masa 45-160 hari daripada hari anda mula dijangkiti. Jika dijangkiti, orang dewasa adalah lebih cenderung untuk mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit ini jika berbanding dengan kanak-kanak.

  • Penat.
  • Sakit kuning.
  • Gatal-gatal.
  • Hilang selera makan.
  • Hilang berat badan.
  • Sakit perut.
  • Sakit-sakit sendi.

Komplikasi Jangkitan 

Pembawa virus hepatitis B yang kronik adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti berikut:

  • Radang hati yang kronik (Chronic hepatitis).
  • Cirrhosis hati (Liver cirrhosis).
  • Kegagalan fungsi hati (Liver failure).
  • Barah hati.

Kebanyakan orang yang telah dijangkiti akan pulih sepenuhnya. Sebilangan kecil pesakit yang dijangkiti akan menjadi lebih teruk dan boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati yang boleh membawa maut. Ada juga yang akan menjadi pembawa virus Hepatitis B yang kronik selepas pulih daripada jangkitan awal Hepatitis B.

Rawatan Dan Langkah Pencegahan 

Tiada rawatan khusus untuk jangkitan akut hepatitis B. Langkah-langkah yang boleh diambil termasuk:

  • Rehat yang secukupnya dan minum air dengan banyak.
  • Diet rendah lemak dan dan kurang perisa/tawar.
  • Elakkan arak/alkohol.
  • Dapatkan nasihat doktor mengenai ubat-ubatan yang diambil untuk penyakit kronik yang lain.
  • Menghindarkan aktiviti berisiko tinggi contohnya menagih dadah secara suntikan dan seks secara rambang.
  • Elakkan berkongsi barang persendirian (contohnya pisau pencukur).
  • Mengecualikan pembawa virus Hepatitis B sebagai penderma darah atau organ.

Pesakit radang hati yang kronik (chronic hepatitis) mungkin boleh dibantu dengan ubat interferon atau lamivudine. Runding mengenai rawatan dengan doktor anda.

Hepatitis B boleh juga dicegah dengan efektif melalui vaksin Hepatitis B. Di Malaysia, semua bayi diberi pelalian untuk HBV di mana 3 dos diberi semasa lahir, 1 bulan dan 6 bulan mengikut  jadual imunisasi Malaysia.

Pelalian Hepatitis B juga digalakkan untuk kumpulan umur lain, untuk kumpulan masyarakat yang tertentu jika mereka tidak mendapat suntikan imunisasi sebelumnya atau tidak pernah mendapat jangkitan ini sebelumnya.

Untuk ibu mengandung yang dijangkiti hepatitis B, anak anda perlu diberi immunoglobulin Hepatitis B secepat mungkin setelah lahir dan ini diikuti dengan pelalian vaksin. Sila beritahu masalah jangkitan HBV kepada doktor anda supaya immunoglobulin dapat disediakan awal sebelum anak anda lahir.

Sumber: myhealth.gov.my & google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen