Apabila anak merengek dan tidak mahu duduk diam, ibu bapa akan mula memasang rancangan kartun. Dan ini membuatkan mereka tidak bergerak dari menonton. Trik ini membolehkan ibu bapa melakukan aktiviti lain seperti memasak, mengemas rumah dan sebagainya. Namun, membiarkan kanak-kanak duduk bersendirian di hadapan TV dalam tempoh lama bukanlah suatu tindakan bijak.

Sesetengah rancangan TV tidak selamat dan tidak sesuai untuk kanak-kanak. Contohnya rancangan berunsur ganas, seram dan lucah. Ibu bapa secara umumnya menyedari hal ini. Sungguhpun begitu, masih ramai ibu bapa tidak menyedari terdapat juga rancangan kartun yang memberi kesan negatif kepada perkembangan pertuturan dan bahasa kanak-kanak.

Elak kartun bisu dan aksi

Antara bentuk rancangan kartun yang mempengaruhi mereka termasuklah kartun bisu dan aksi berlebihan. Kanak-kanak yang menonton kartun sebegini tidak berpeluang mempelajari bahasa dan perkataan baru. Selain itu, kartun mengandungi banyak aksi dalam satu masa seperti tumbuk, tending dan tembak yang dipaparkan dengan pantas juga memberi kesan negatif kepada perkembangan pertuturan dan bahasa mereka. Kanak-kanak meniru aksi itu tanpa menyebut sebarang perkataan bersesuaian seperti serang, tembak atau adoi kerana seluruh tenaga dan tumpuan diberikan kepada pergerakan. Bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat sesetengah rancangan TV boleh membantu perkembangan bahasa dan pertuturan. Jadi, ibu bapa perlu bijak mengurus waktu menonton agar tidak terlalu lama.

Kesan buruk menonton TV terlalu lama 

1. Kurang bercakap

Menonton TV ialah aktiviti pasif. Kanak-kanak tidak berpeluang memberi komen atau menyoal semula. Secara tidak langsung, tempoh menonton lama mengurangkan masa untuk mereka berlatih bercakap.

2. Kurang kemahiran sosial

Kemahiran ini penting bagi setiap individu untuk berhubung dengan orang lain selain daripada dapat menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran. Si kecil perlu sentiasa berinteraksi atau bergaul dengan orang lain di sekelilingnya.

3. Kurang daya imaginasi

Daya imaginasi melatih keupayaan kreativiti kanak-kanak. Apabila mereka menonton TV terlalu lama, masa yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti berbentuk imaginasi telah berkurangan. Aktiviti boleh dilakukan, misalnya berwarna, membina blok, bermain lego dan bermain olok-olok.

4. Kurang tumpuan

Ibu bapa menganggap jika anak boleh memberi tumpuan pada rancangan TV bermakna anak mereka mempunyai tumpuan yang baik. Terdapat kajian menunjukkan kaitan antara masalah tumpuan dan tempoh masa menonton TV. Dengan bertambahnya masa menonton TV bagi kanak-kanak, maka berkurangan tumpuan mereka kepada pertuturan. Mereka kurang berminat dan lambat memberi respon kepada pertuturan dan perbualan. Tidak sekadar terhenti di peringkat ini, masalah tumpuan seterusnya dapat dilihat apabila mereka memasuki pra-sekolah. Mereka didapati sukar menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.

Sumber: jelita.com.my & google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen