Terdapat pelbagai jenis sayur-sayuran yang  dijual di pasar namun tidak semua tahu keadaan sayur yang terbaik yang kita perlu pilih.

Berikut adalah antara panduan yang boleh digunapakai ketika memilih sayur-sayuran.

Lobak Merah 

  • Pilih lobak merah yang mempunyai batang yang lurus, tidak terlalu besar dan kulit yang berwarna oren terang. Ini kerana lobak merah yang bersaiz sederhana begini mempunyai rasa yang lebih manis, lebih lembut serta tinggi khasiat. Elakkan lobak merah yang kulitnya kelihatan kusam, terlalu besar dan rosak.

Timun 

  • Buah timun enak dijadikan ulam. Namun pernahkah anda termakan timun yang mempunyai rasa pahit? Untuk mengelakkan masalah ini, pilih timun yang lurus serta pangkalnya yang berwarna tidak terlalu hijau tua. Ia lebih lembut, berjus dan rangup.

Bendi 

  • Bendi yang keras memang tidak enak dimasak walau dengan apa cara sekalipun. Ini kerana bendi tua mempunyai tekstur kulit yang agak berserat serta biji yang agak keras ketika dimakan. Untuk memilih bendi yang masih muda adalah dengan cara memicit hujung buah. Jika lembut, ia menandakan bendi tersebut masih muda dan sedap dimasak.

Kubis 

  • Pilih kubis yang berwarna hijau yang cerah serta berkilat.Pastikan juga kubis tersebut keras dan padat ketika disentuh kerana ia menandakan kubis tersebut masih segar dan tidak lompong di bahagian dalam.

Sawi 

  • Sawi yang terbaik adalah sawi yang mempunyai daun lebar serta batang yang kecil. Tidak mengapa jika daunnya sedikit berlubang akibat dimakan ulat kerana ia menandakan sayur tersebut tidak menggunakan racun perosak.

Tomato 

  • Bagi buah tomato, pilih buah yang berwarna sedikit kehijau-hijauan. Ini kerana teksturnya yang tidak terlalu lembik, sedikit ‘crunchy’ serta boleh disimpan lama. Jika anda membeli tomato yang ranum, waktu penyimpanannya lebih singkat selain terlalu lembik serta mudah busuk.

Ubi Keledek 

  • Makanan yang enak bermula dari bahan penyediaan yang segar serta berkualiti. Jika ingin membeli ubi keledek, pilih ubi yang lurus dan kulitnya bersih. Elakkan mengambil ubi yang mempunyai kesan torehan atau patah. Ini kerana ubi yang sebegitu telah dimasuki angin dan isinya terasa hambar, tidak sedap serta kurang manis.

Sumber: rasa.my & google (gambar)

 

Komen dgn Fesbuk

komen