Zaman sekarang, anak yang depan mata pun boleh jadi macam-macam. Terkini satu kejadian culik berlaku seperti yang dikongsi dalam video dari TV3, yang mana ibu ayah baru selesai makan malam di sebuah restoran Wangsa Maju, ketika menuju ke arah kereta tetiba suspek seorang warga Kemboja cuba menarik anak perempuannya yang berusia 6 tahun.

Buat mak ayah, kalau boleh pakai baby carrier dan jangan hiraukan kata-kata orang sekeliling. Janji anak selamat dekat badan kita. Biar kita yang susah, jangan nanti anak sudah hilang hati yang susah. Sekarang manusia kejam, tak ada perikemanusiaan. Sanggup buat apa saja janji dapat duit!

Jom tengok beberapa aspek keselamatan yang ibu bapa perlu tanamkan bila keluar bersama anak-anak.

1. Ibu bapa perlu memaklumkan perancangan dengan tepat destinasi dan tujuan kepada anak-anak mengenai destinasi yang bakal dikunjungi. Sebagai contoh, mula-mula ke pusat membeli belah  dengan tujuan utama untuk membeli pakaian seragam sekolah.

2. Pastikan anak-anak dikenakan pakaian yang mudah dikenali sebagai contoh baju yang berwarna terang untuk mudah dikenal pasti terutamanya di tempat awam.

3. Kanak-kanak pada usia awal atau sebelum persekolahan kerap menghadapi masalah untuk mengingati nombor telefon ibu bapa atau alamat rumah mereka sendiri. Biasakan kanak-kanak  membawa kad nama ibu bapa yang lengkap dengan nombor untuk dihubungi untuk sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

4. Ibu bapa harus sentiasa memastikan bahawa anak mereka berada dalam perhatian mereka ketika berada di tempat awam, terutamanya di pasar malam, pasar raya dan pusat beli belah. Kebanyakan kes kehilangan anak adalah berada di lokasi yang penuh dengan orang ramai, terutama ketika jualan murah diadakan kerana ibu bapa sibuk membeli belah.

5. Ibu bapa perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga keselamatan anak kecil mereka tidak kira di mana mereka berada.

6. Ibu bapa perlu mengajar anak mereka serba sedikit tentang pendidikan seks, iaitu bahagian aurat badan mereka yang tidak boleh disentuh oleh orang lain. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka supaya menolak ajakan atau pujukan orang yang tidak dikenali walaupun terdapat gula-gula yang enak.

7. Ibu bapa harus pastikan anak mereka tidak berseorangan sama ada di rumah atau di luar rumah.

8. Ibu bapa juga perlu mendapatkan ilmu bagaimana mendidik anak masing-masing modul pendidikan keselamatan diri.

9. Ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa membawa sekurang-kurangnya gambar terbaru kanak-kanak bersaiz pasport, mungkin boleh disimpan di dalam dompet ayah atau beg tangan ibu. Gambar sebegini akan memudahkan dan mempercepatkan pihak berkuasa dan orang awam di tempat kejadian untuk mengecam kanak-kanak tersebut.

10. Sentiasa ingatkan kanak-kanak berjumpa terus dengan pihak berkuasa seperti pengawal keselamatan atau pihak polis jika terpisah dari keluarga atau tersesat.

11. Jangan reka cerita dan menakutkan anak-anak dengan dunia pihak berkuasa. Kanak-kanak kena diberitahu bahawa polis akan menolong kita jika semasa kecemasan atau kemalangan.

12. Golongan ibu bapa perlu sentiasa menimba ilmu tentang aspek-aspek keselamatan kanak-kanak melalui pembacaan buku ataupun majalah yang sesuai. Melalui pembacaan, ibu bapa dapat mendidik anak-anak tentang keselamatan diri dengan cara yang kreatif. Ini boleh merangsang perkembangan minda dan tumbesaran mereka.

13. Penjaga boleh memakaikan anak dengan abah-abah atau gelang khas bagi mengesan si kecil sekiranya terlepas daripada pegangan.

14. Ibu bapa boleh menyediakan gelang khas di tangan anak dengan menulis nombor telefon atau sebarang nombor lain yang boleh dihubungi. Apabila anak terlepas daripada pegangan dan jika ditemui orang awam, mereka boleh menghubungi nombor berkenaan.

15. Ajar anak-anak untuk tidak mengikut orang yang tidak dikenali walaupun diberikan manisan atau permainan sebagai umpan.

16. Ibu bapa harus sentiasa memastikan anak mereka tidak lari daripada perhatian mereka ketika berada di tempat awam, terutamanya di pasar malam, pasar raya dan pusat membeli belah.

17. Ajar anak-anak menggunakan wisel semasa kecemasan dan ketika dikuatiri diancam.

18. Ibu bapa  digalakkan menghadiri kursus membantu kanak-kanak dalam kecemasan. Kursus seperti ini telah banyak dianjurkan di hospital.

19. Ibu bapa atau penjaga seharusnya memberi perhatian ketika berada di lokasi tertentu atau tempat awam yang sering mendedahkan kanak-kanak kepada ancaman tanpa diduga.

20. Ketika berjalan bersama, pastikan anak-anak berada di hadapan dan jangan biarkan mereka berada di sisi atau di belakang bagi memastikan ibu bapa tidak alpa memerhati jika mereka beralih arah dengan tiba-tiba.

21. Teknologi seperti sistem peranti yang menyokong rangkaian telekomunikasi mampu memenuhi keperluan ibu bapa mengawasi sepenuhnya masa anak-anak jika berada di luar rumah.

22. Kena selalu nasihatkan anak-anak  supaya memaklumkan kepada guru terlebih dahulu sebelum meninggalkan kelas misalnya, sekiranya ingin keluar ke tandas atau ke mana-mana.

23. Jika sesi persekolahan tamat, ibu bapa seeloknya tiba lebih awal ke sekolah untuk membawa pulang anak mereka dengan selamat.

24. Ibu bapa perlu laporkan kepada pihak sekolah atau pegawai polis jika terdapat sesiapa berkelakuan yang mencurigakan di sekolah atau kawasan perumahan.

25. Ibu bapa harus memantau setiap gerak langkah anak-anak walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Ini bagi memastikan mereka berada di dalam zon yang selamat.

 

Sumber: keluarga.my & google (gambar)

 

Komen dgn Fesbuk

komen