Bila masuk ke dapur, kita pasti impikan tugasan memasak yang memudahkan. Cuba lihat antara petua yang dikongsikan ini.

Masakan Terlebih Masin
Sekiranya masakan anda terlebih masin, dan tak mahu tambah air kerana takut kuahnya menjadi cair, ambil saja sejemput kelapa parut, kemudian bungkus di dalam kain jarang serta masukkan ke dalam masakan tersebut. Biarkan sehingga mendidih.

Hilangkan Lendir Ikan Air Tawar
Ambil sedikit daun pisang dan masukkan ke dalam bekas yang berisi ikan yang telah disiang. Ramas dan cuci ikan dengan air sehingga bersih.

Membersihkan Siput Sedut
Jika anda menghadapi masalah untuk membersihkan siput sedut, petua ini mungkin berguna bagi anda. Ambil sebekas hampas kelapa, gaulkan siput sedut yang masih hidup itu dan biarkan semalaman. Esoknya barulah anda mula mengerat bahagian hujung cengkerang siput itu sebelum dimasak. Dengan demikian bau lumpur dari siput itu akan hilang, malah bertambah rasa lemaknya apabila dimasak.

Kacang Cepat Empuk
Jika ingin membuat bubur kacang, tentu anda mempunyai masalah semasa merebus kacang. Ini kerana kacang yang akan direbus itu memakan masa yang agak lama untuk empuk. Bagi mengatasi masalah ini, masukkan sudu bersama-sama kacang yang hendak direbus. Cara ini akan mempercepatkan masa untuk merebus kacang tadi.

Cili Giling Terlalu Pedas 
Masakan yang menggunakan cili kering yang digiling sememangnya sedap. Tetapi, jika cili terlalu pedas, mungkin mengakibatkan sakit perut. Untuk mengurangkan pedas cili tersebut, goreng seketika cili kering dengan minyak. Kemudian, tos dan gilingkan cili tersebut. Pedasnya akan berkurangan dan warna cili tersebut akan kelihatan lebih cantik.

Menghilangkan Bau Hangit
Sesetengah orang tidak tahan atau pening bila terhidu bau hangit. Cara menghilangkan bau hangit termasuklah hangit nasi atau masakan lain adalah dengan memasukkan dua atau tiga tangkai cili kering ke dalam periuk. Kemudian, tutup dan biarkan seketika. Bau hangit itu akan hilang.

Kek Lebih Lembut
Jemurkan tepung di bawah cahaya matahari. Ini akan menyebabkan tekstur tepung menjadi lebih ringan dan adunan menjadi lebih lembut.

Kuih Sagu Lebih Enak
Basuh dahulu biji sagu dan toskan. Kemudian masak sagu tersebut, barulah simpan di dalam peti sejuk. Kuih sagu akan cantik dipotong dan enak dimakan.

Hilang Miang Batang Keladi
Kadang-kadang miang batang keladi yang telah dimasak masih dapat kita rasa di tekak, ini akan menyekat selera makan. Jadi pastikan anda membuang semua kulit keladi sehingga tiada yang tersisa. Kemudian rebus sehingga lima minit. Tos dan cuci semula batang.

Sumber: jelita.com.my & google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen