MENJAGA warga tua atau ibu bapa yang sudah lanjut usia bukan masalah individu, sebaliknya melibatkan semua pihak terutama institusi keluarga, masyarakat dan kerajaan.

Bahkan jika dilihat penggunaan terma penjaga itu sendiri, ia meliputi tanggungjawab semua pihak dan terdapat banyak bentuk penjaga.

Pensyarah Jabatan Kerja-Kerja Sosial, Fakulti Pembangunan Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Zarina Mat Saad berkata, masyarakat Malaysia secara tradisional masih mengamalkan sistem keluarga luasan iaitu isi rumah yang merangkumi ibu bapa, anak-anak dan datuk, nenek atau anggota keluarga yang lain.

Ini katanya, secara tak langsung memupuk rasa tanggungjawab, perasaan kasih sayang, sokongan dan ikatan kekeluargaan yang kuat oleh ahli keluarga terhadap warga tua.

Namun menurut beliau, disebabkan arus pembangunan dan proses modenisasi, nilai tradisional tadi beransur-ansur menurun.

Akibatnya masyarakat menjadi lebih individualistik dan hubungan kekeluargaan semakin renggang.

Bagaimanapun keadaan ini bukanlah sesuatu yang serius kerana masih lagi wujud keluarga luasan di Malaysia. Mengikut statistik Jabatan Perangkaan 1998, sebanyak 58 peratus penduduk berumur tinggal di dalam isi rumah keluarga luasan.

Kajian-kajian tentang persepsi generasi muda terhadap warga tua yang dijalankan di UUM pula mendapati kebanyakan mereka melihat warga tua atau proses penuaan itu dalam keadaan positif.

Sebagai anak-anak, seharusnya mempunyai tanggungjawab menjalankan tugas menjaga ibu bapa yang berumur. Ia bukan sahaja tanggungjawab sosial tetapi ia adalah tuntutan agama. Anak-anak perlu menjaga ibu bapa mereka semasa ibu bapa mereka sihat seperti menjaga makan minum, pakaian, tempat tinggal selesa dan sebagainya. Menjaga ibu bapa ketika sakit, ketika diambang maut dan juga menguruskan jenazah ibu bapa juga tanggungjawab yang dituntut,” katanya.

Secara umumnya Zarina berpendapat, akta khas yang mewajibkan anak-anak menanggung sara hidup orang tua mereka masih tidak diperlukan buat masa ini.

Bagi beliau, kes pengabaian terhadap ibu bapa atau warga tua di negara ini belum berada pada tahap yang serius sehingga memerlukan akta khas. Lagipun di dalam tuntutan agama ia cukup jelas yang menuntut kita sebagai anak dan masyarakat menjaga orang yang berumur. Namun, ini bukan bermakna isu penjagaan keatas warga tua harus dipandang ringan. Kita juga sudah mempunyai Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Negara yang menekankan kepada program-program untuk menggalakkan penjagaan warga tua di dalam keluarga mereka sendiri.

Bagaimanapun beliau berkata, beberapa tindakan atau tanggungjawab lain perlu dilaksanakan secara bersama bukan hanya diletakkan tanggungjawab tersebut kepada penjaga informal di rumah.

Bantuan

Beliau mengakui, sekarang ini kerajaan menyediakan pelbagai bantuan, program, dan insentif kepada penjaga yang menjaga warga tua. Namun, ada segelintir anak-anak yang mengambil jalan mudah menghantar ibu bapa mereka ke rumah-rumah orang tua dengan alasan sibuk bekerja dan sebagainya.

Ada juga anak-anak yang terdesak menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua kerana tekanan dan desakan ekonomi. Memang ada anak-anak menjaga orang tua mereka dengan rela hati dan penuh kasih sayang sehingga kadang-kadang mereka sendiri mengalami tekanan secara sedar atau tidak.

Tugas menjaga bukan sahaja memerlukan tenaga, tetapi masa, dan sumber kewangan yang cukup di samping menjalankan tanggungjawab sosial yang lain.

Oleh itu, penjaga perlu juga mengawal tahap tekanan mereka supaya kesihatan fizikal dan mental mereka dalam keadaan terkawal. Jika penjaga sendiri mengalami masalah fizikal atau mental bagaimana mereka hendak menjalankan tanggungjawab yang murni ini. Silap langkah, mereka sendiri yang menjadi pendera atau pengabai terhadap warga tua.

Beliau memberi beberapa tip yang boleh membantu penjaga mengurangkan tekanan ketika menjaga warga tua terutamanya warga tua yang memerlukan jagaan sepenuhnya seperti sakit atau nyanyuk.

Antara cadangan boleh dilakukan untuk mengatasi masalah pengabaian warga tua ialah; Menerapkan pendidikan tentang nilai-nilai kekeluargaan dan penjagaan warga tua di peringkat awal.

Sebagai contoh, melatih anak-anak yang masih muda rasa tanggungjawab dan sayang terhadap orang tua. Selain itu, memperbanyakkan konsep penjagaan inter-generasi di mana agensi atau pusat penjagaan menyediakan penjagaan secara bersama iaitu pusat penjagaan untuk kanak-kanak dan warga tua.

Dengan cara itu program atau aktiviti yang dijalankan boleh melibatkan warga tua dan kanak-kanak dapat memupuk rasa hormat dan sayang di antara mereka.

Dalam pada yang sama katanya, program-program atau insentif daripada kerajaan atau swasta untuk membantu penjagaan kepada penjaga perlu diwar-warkan agar mereka lebih sedar tentang sumber yang boleh didapati terutama mereka yang tinggal di luar bandar.

Perlu menyediakan satu sistem pendaftaran penjaga supaya segala bentuk bantuan dan program boleh disalurkan dengan mudah. Maknanya kita tahu siapa yang menjaga siapa di dalam masyaraka.

Pihak berkuasa tempatan pula katanya, harus membentuk dasar memberi keutamaan perumahan kepada penjaga yang menjaga ibu bapa yang tua, di samping mewujudkan struktur perumahan yang sesuai untuk ibu bapa yang tua di bandar. Kita mungkin boleh mengambil contoh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, di mana mereka menyediakan perumahan atau bangunan untuk warga tua yang lebih suka hidup sendiri.

Oleh itu, ibu bapa boleh tinggal di bandar berdekatan dengan anak-anak tetapi mungkin bukan di dalam satu rumah.  Majikan perlu katanya, perlu menyediakan persekitaran kerja yang lebih mesra kepada penjaga seperti waktu kerja yang fleksibel, sistem kerja dari rumah, atau ganjaran atau bantuan-bantuan kewangan yang lain.

Sumber : http://ww1.utusan.com.my/utusan/ dan google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen