Jangkitan selsema kadangkala bermusim. Perhatikan tanda-tanda selsema pada anak-anak seperti mula sakit tekak, sakit kepala dan badan, mata berair, demam, hidung berair atau tersumbat dan batuk yang biasanya tanpa kahak. Sekali terjangkit, ia mengambil masa agak lama untuk pulih sepenuhnya. Tentu sekali lebih baik jika kita dapat mencegahnya dari awal.

Bagi mencegah jangkitan selsema, ikuti panduan ini.

Cuci tangan
Galakkan anak-anak mencuci tangan terutama jika mereka mempunyai rakan-rakan yang sedang dijangkiti di sekolah. Pastikan mereka mencuci tangan dengan bersih jika bersalaman. Mengalirkan air yang banyak pada tangan dapat menghilangkan kuman. Tidak kira sama ada menggunakan air suam atau air sejuk, pastikan mereka menggosok pada bahagian belakang tangan, celah-celah jari dan di bawah kuku kerana gosokkan selama sekurang-kurangnya 20 saat ini dapat menghilangkan kuman.

Tidur yang cukup
Ketika sakit, tubuh badan memerlukan rehat yang lebih kerana badan yang penat tidak dapat melawan penyakit atau jangkitan dengan baik. Jadi pastikan anak-anak mendapat tidur secukupnya selama 8 hingga 10 jam setiap hari.

Makanan seimbang
Mendapatkan makanan seimbang mungkin dirasakan sukar, tetapi mengambil banyak buah-buahan dan sayuran segar dapat menyokong sistem imunisasi badan. Tentu ianya lebih mudah daripada merawat selsema. Pengambilan vitamin tambahan tidak dapat menggantikan nutrien yang boleh didapati daripada makanan seimbang.

Bersenam
Mantapkan lagi sistem imunisasi anak-anak dengan aktiviti riadah. Pastikan anak-anak mempunyai aktiviti sukan yang digemari dan galakkan mereka bersukan dan berpeluh. Bersenamlah sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

Jauhkan diri
Paling mudah, jauhkan diri daripada mereka yang sedang dijangkiti selsema terutama jika mereka demam. Terlebih lagi bagi bayi kerana sistem imunisasi mereka yang masih lemah memudahkan jangkitan.

Gel pembersih
Pastikan anda bekalkan gel pembersih desinfeksi atau tisu basah pada anak-anak. Pastikan juga tisu basah beralkohol kerana tanpa alkohol ianya menjadi kurang berkesan untuk membersihkan kuman.

Menggigit kuku
Pesan pada anak-anak supaya menghindari tabiat menggigit kuku. Kuman sangat mudah berkumpul di bawah kuku, jadi anak-anak mudah dijangkiti kuman jika gemar menggigitnya.

Lebihkan senyuman
Kajian menunjukkan bahawa perasaan gembira dapat membantu meningkatkan sistem imunisasi tubuh. Galakkan perasaan ini pada anak-anak dengan bermain dengan haiwan peliharaan, pemikiran positif dan aktiviti lain yang dapat menggembirakannya.

Minum air lagi dan lagi
Air adalah elemen terpenting dalam badan. Pastikan anak-anak minum sekurang-kurangnya 2 liter air sehari, bersamaan dengan 8 gelas. Mengekalkan tahap hidrasi pada badan penting untuk menyokong sistem imunisasi yang kuat.

Tinggalkan rokok
Jika terdapat perokok dalam rumah anda, inilah masanya untuk menggalakkannya berhenti. Merokok meningkatkan risiko jangkitan dengan mengubah saluran pernafasan dan merendahkan respon imunisasi badan. Merokok boleh memusnahkan cilia, sejenis serat seperti bulu halus dan kecil dalam hidung dan ini memudahkan jangkitan.

Kekalkan kebersihan
Pastikan anak-anak sentiasa berada di persekitaran yang bersih. Tidak kira sama ada di rumah atau di luar. Amat baik jika dapat mendesinfeksi tempat-tempat yang berkongsi sentuhan seperti tombol pintu dan suis lampu terutama jika dikunjungi tetamu yang terkena jangkitan.

Tidak ada yang lebih baik selain menjaga kesihatan anda dan anak-anak. Gaya hidup sihat adalah satu jalan mudah bagi membantu melawan apa juga jangkitan kuman dan memastikan pembesaran anak-anak yang sempurna lagi ceria.

 

Sumber : https://my.theasianparent.com dan google (gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen