Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar Regency, Dr. Chang Hok Keong menjelaskan, masalah ini berpunca daripada pelbagai sebab termasuk kecuaian penjaga bayi semasa menyusu iaitu payudara menghimpit hidung dan mulut bayi.
Kebanyakan penjaga bayi juga tidak melakukan sendawa terhadap bayi jagaan mereka selepas habis minum susu. Ini menyebabkan susu terkeluar atau muntah akan tersedak ke dalam paru-paru.

Dr. Hok Keong juga menjelaskan, bayi yang tidur bersama ibu bapa akan menyebabkan bayi tersepit kerana ruang terhad.

Menggunakan puting susu yang salah misalnya terlalu besar juga boleh menyebabkan susu meleleh dan tersekat.
Ada juga ibu bapa takut bayi sejuk semasa tidur. Oleh itu, mereka peluk bayi dengan ketat dan akhirnya menyebabkan bayi tersedak dan sesak nafas.

“Dalam sesetengah kes ada bayi yang tidur meniarap dengan hidung dan mulut tersekat oleh bantal dan selimut yang lembut. Terdapat juga kes iaitu bayi bermain dengan beg plastik kemudian tertutup kepala dan menyebabkan pernafasan tersekat atau asfisia,” katanya.

Kematian bayi akibat tersedak susu juga berpunca daripada bayi yang termakan sesuatu yang susah dikunyah seperti kismis, gula-gula atau bahagian mainan yang kecil, butang atau serpihan.

Masalah ini juga berpunca daripada penyakit dalaman yang belum dirawati seperti jangkitan paru-paru, otak, darah dan jantung. Tidak ketinggalan, Dr. Hok Keong, memberitahu ada juga kes kematian bayi yang tersedak tetapi tidak diketahui punca kematian mereka.

Beliau menjelaskan, jika trakea ini tersumbat, udara tidak akan dapat masuk ke dalam paru-paru lalu menyebabkan organ-organ di dalam badan tidak mendapat bekalan oksigen.

“Ini kerana apabila kita menelan, struktur yang dinamakan epiglotis yang terdapat di bahagian pangkal salur trakea akan menutup salur trakea dan makanan itu hanya akan melalui saluran esofagus. Proses inilah yang dilalui bayi yang sedang minum susu ,” katanya.

Jika berhadapan dengan situasi mencemaskan ini, Dr. Hok Keong menasihatkan agar anda berhenti menyusukan dengan segera dan tegakkan posisi bayi.

Sekiranya bayi kelihatan sukar bernafas segeralah ke hospital yang berdekatan.

“Bayi yang tersedak susu memang berbahaya jika tidak diberi bantuan kecemasan dengan segera. Bayi mungkin akan meninggal dunia atau menyebabkan kesan sampingan kepada otak.

“Oleh itu, penjaga bayi atau ibu bapa mesti memahami punca-punca yang menyebabkan bayi tersedak. Selain itu, mereka perlu tahu cara menyelamatkan bayi atau teknik untuk memberi bantuan kecemasan semasa kes ini berlaku,” katanya.

Dr. Hok Keong menjelaskan, jika kerongkong bayi ada barang atau tersumbat, perhatikan sama ada bayi masih boleh menangis atau batuk. Jika boleh, jangan tepuk badan belakang atau beri air untuk diminum. Biarkan bayi batuk dan tenangkannya.

Tambah beliau, jika bayi tidak boleh menangis, batuk atau bernafas dan keluarkan bunyi, penjaga atau ibu bapa perlu duduk di atas kerusi, kemudian tonggengkan bayi dengan muka bayi menghadap ke lantai. Letakkan bayi di atas paha. Tepuk belakang bayi sebanyak lima kali untuk mengeluarkan bahan di dalam kerongkong.

“Jika bahan masih tersekat di dalam kerongkong atau saluran pernafasan, penjaga atau ibu bapa boleh pusing balik bayi dengan posisi melentang di atas paha dengan kepala bayi menghadap ke bawah. Gunakan dua atau tiga jari untuk letak di bawah tulang rusuk tengah (sternum). Tekan lima kali untuk keluarkan bahan yang tersekat. Jika masih tidak berjaya, hubungi hospital berdekatan dan dapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.

Sementara itu, jika anda berhadapan dengan kes iaitu bayi tidak sedar diri tetapi masih ada pernafasan, anda boleh letakkan bayi di atas lantai dengan mengiring sebelah badan. Gunakan jari untuk keluarkan barang atau makanan dalam mulut bayi. Jika bayi tidak sedar diri dengan tiada bernafas, lakukan bantuan Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari ( CPR ).

Jauhkan barang atau bahan yang mudah tertelan atau menyebabkan sesak nafas

    •  Belon, duit siling, penutup pen atau pensil, pemadam, pin keselamatan, guli, bola kecil, beg plastik, butang atau berlian, anting-anting.
    • Kekacang, pop corn, biji tembikai, ceri, ketulan buah-buahan atau anggur.
    • Sayur-sayuran hijau dalam ketulan, jem kacang atau daging.
    • Gula-gula yang keras atau chewing gum

Sumber : http://www.utusan.com.my/ dan google (gambar)