Kurap atau tinea corporis adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan sejenis kulat (fungi) yang dipanggil dermatophyte.

Tiga jenis dermatophyte yang dikenal pasti menyebabkan kurap adalah dari jenis Trichophyton, Microsporum dan Epidermophyton. Selain daripada menjangkiti kulit, kulat-kulat ini juga boleh menjangkiti  kuku dan rambut.

Jangkitan boleh berlaku melalui sentuhan; sama ada dengan manusia atau haiwan yang berkurap atau dengan sebarang  objek yang mempunyai kulat di atasnya (fomites). Ia juga boleh berjangkit  secara autoinokulasi iaitu jangkitan daripada kawasan lain pada tubuh individu yang sama contohnya berjangkit di bahagian tangan atau badan akibat digaru dengan kuku jari yang dijangkiti kulat.

Keadaan kulit yang sentiasa lembap akibat pemakaian baju yang diperbuat daripada fabrik yang tidak menyerap peluh atau iklim yang lembap dan panas  menggalakkan pertumbuhan dan  jangkitan kurap. 

Rawatan

Penyakit kurap boleh dirawat dengan penggunaan ubat antikulat. Jenis rawatan bergantung kepada beberapa faktor seperti keluasan kawasan yang dijangkiti, kekerapan jangkitan berulang selepas dirawat, kurap yang tidak sembuh dengan rawatan sapuan krim dan sebagainya. Sekiranya kurap hanya melibatkan kawasan kulit yang terhad, ubat dalam bentuk krim adalah yang paling sesuai.

Jika terdapat banyak kawasan yang dijangkiti kurap, ubat antikulat dalam bentuk kapsul atau pil adalah pilihan yang lebih praktikal. Di antara ubat antikulat yang kerap digunakan adalah fluconazole, itraconazole dan terbinafine. Walau bagaimanapun, ubat-ubat ini mempunyai kesan sampingan yang tersendiri. Ia boleh berinteraksi dengan ubat-ubat lain dan boleh menyebabkan ‘hepatitis’ terutamanya pada sesetengah individu. Oleh itu, pastikan ubat-ubat ini diperoleh daripada pengamal perubatan yang arif tentang penggunaannya. Anda juga dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membeli ubat-ubatan tanpa preskripsi terutamanya jika anda juga mengambil ubat-ubat yang lain.

Pencegahan

Rawatan awal yang mencukupi amat penting untuk mempastikan jangkitan kurap sembuh dan tidak berulang. Walau bagaimanapun, jangkitan ini masih boleh berulang. Elakkan daripada berkongsi tuala, pakaian atau kasut dengan orang lain dan pastikan kawasan kulit yang terlibat tidak sentiasa lembap.

 

Sumber : www.myhealth.gov.my dan google(gambar)

Komen dgn Fesbuk

komen