KENYATAAN yang mengatakan bahawa wanita tidak boleh bergiat aktif ketika haid adalah mitos semata-mata.

Sebaliknya jika kitaran haid seseorang wanita itu normal dan kadar pendarahannya seperti biasa, mereka masih boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti bersenam, bersukan dan sebagainya.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan, haid bukan penghalang untuk seseorang wanita melakukan aktiviti lasak.

WANITA yang mempunyai hormon tidak sekata akibat kitaran haid tidak normal dan menopaus lebih bermasalah.

“Wanita bebas untuk melakukan apa sahaja ketika haid. Sama ada mereka ingin bersenam, bersukan atau melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan sebagainya, ia terpulang kepada mereka.

“Cuma jika seseorang wanita itu mengalami kitaran haid tidak normal atau mengalami pendarahan yang banyak, maka ia sedikit sebanyak akan mengganggu prestasi wanita berkenaan.

“Namun jika haid mereka normal setiap bulan, ia tidak menjadi masalah,” kata Jamiyah

Tambah Jamiyah, aktiviti lasak yang dilakukan oleh seseorang wanita, bukan punca yang menyebabkan pendarahan mereka bertambah atau tersekat-sekat.

“Sebenarnya mengikut sains, darah tersebut terkumpul di bahagian atas vagina dan jika ia keluar dalam bentuk berketul-ketul dalam jumlah yang banyak, ia merupakan satu proses semula jadi.

“Oleh itu saya ingin tekankan bahawa aktiviti lasak yang dilakukan seseorang wanita bukanlah penyebab kepada masalah tersebut.”

Selain itu, walaupun kajian menunjukkan bahawa aktiviti fizikal wanita akan merosot apabila tiba waktu haid, ia tidak dihadapi oleh semua wanita.

Sumber : www.kosmo.com.my

Komen dgn Fesbuk

komen