Aktiviti origami merangsang minda..

Permainan origami merupakan permainan yang tidak asing bagi kanak-kanak sejak dahulu lagi. Tetapi kini, ramai kanak-kanak yang tidak tahu mengenai permainan ini kerana kurang pendedahan. Mereka lebih banyak didedahkan dengan permainan-permainan moden yang mudah didapati di supermarket dengan bantuan iklan-iklan di televisyen. Malah tidak kurang pula yang menghabiskan banyak masa dengan menonton televisyen dan bermain ‘games’.

Apa kata sesekali kita meneliti jenis-jenis permainan yang boleh menajamkan minda dengan kos yang rendah. Origami adalah sejenis permainan atau aktiviti yang mampu menajamkan minda dan mengimbangi otak kiri dan kanan. Bukan sahaja kos yang rendah iaitu dengan hanya menggunakan kertas-kertas, tetapi juga mudah dilakukan di mana sahaja.

Permainan ini memerlukan kanak-kanak mengingati langkah demi langkah dengan betul. Keupayaan mengingat boleh ditingkatkan dengan bentuk-bentuk origami yang lebih mencabar.

Bukan itu saja, permainan origami juga mampu meningkatkan kemahiran ‘motor halus’ (seni) anak anda. Aktiviti ini memerlukan kemahiran pergerakan jari-jemari dengan berhati-hati dan kemas. Kemahiran ‘motor’ anak-anak boleh ditingkatkan lagi dengan meningkatkan kualiti kekemasan origami yang mereka hasilkan. Kemahiran seni berkait rapat dengan otak kanak. Dengan kata lain, latihan kemahiran seni akan meningkatkan keupayaan otak kanan anak anda.

Latih anak anda dengan permainan origami seawal usia 3 tahun. Kanak-kanak suka mencuba. Pilih jenis-jenis origami yang mudah sebagai permulaan dan ‘upgrade’ mengikut kebolehan mereka.

Kebiasaannya apabila kanak-kanak berumur 3-4 tahun, mereka mempunyai kecenderungan untuk melakukannya sendiri. Sedikit demi sedikit ajar anak kita menghasilkan origami dengan sendiri.

Apabila umur anak anda meningkat, berikan aktiviti origami yang lebih kompleks supaya dapat mencabar minda anak-anak untuk terus aktif dan berkembang.

Komen dgn Fesbuk

komen