Ketika berpuasa, badan tidak mendapat air yang secukupnya pada siang hari dan menyebabkan kulit menjadi lebih mudah kering. Keadaan ini menjadi lebih teruk kepada individu yang tidur di dalam bilik berhawa dingin selepas sepanjang hari bekerja di pejabat yang sejuk.

Kulit muka menjadi kusam, kasar dan kering merupakan kesan kekurangan air yang terjadi pada badan dan keadaan kulit.

Antara tanda kulit kering lain adalah garis kedut halus terbentuk terutamanya di tulang pipi, disekitar mata dan dahi diiringi rasa gatal, kaku dan kemerahan pada kulit. Apabila keadaan ini dibiarkan terlalu lama sel kulit akan mati hingga mengelupas seterusnya menjadi kusam.

Apabila dehidrasi terjadi ketika berpuasa, ambil langkah pencegahan dengan segera kerana takut kerosakan kulit menjadi lebih parah.

Amalkan langkah ini untuk mengelakkan kulit kering ketika berpuasa.

  1. Ketika bersahur dan selepas berbuka, minum banyak air kosong. Air membantu menghidratkan dan melembapkan kulit serta membuatkan anda menahan lapar untuk terus berfungsi dengan baik sepanjang hari. Elakkan minuman seperti kopi dan teh kerana ia akan mendorong pengeluaran air kencing. Malah, anda juga boleh memakan buah-buahan segar untuk menambah kandungan air dalam tubuh.
  2. Seeloknya, minimunkan penggunaan solekan tebal sepanjang Ramadan untuk mengelakkan kulit kering. Ia juga dapat merehatkan kulit dari bahan kimia yang terkandung dalam produk kosmetik.
  3. Jika anda terdedah kepada penghawa dingin ketika bekerja, gunakan semburan air mineral ke wajah untuk mengekalkan kesegaran kulit.
  4. Gunakan kosmetik atau krim perawatan yang mengandungi pelembap untuk mengekalkan kelembapan kulit dan disarankan untuk memakai krim khas melembapkan bagi memaksimumkan fungsinya.
  5. Elakkan daripada memilih sabun atau cecair mandian yang boleh mengeringkan kulit. Sebaliknya, pilihlah sabun dengan pH seimbang dan sesuai dengan keadaan kulit masing-masing.
  6. Jalani rutin penjagaan kulit seperti biasa agar kulit kekal sihat  dan terhindar dari masalah yang merosakkan penampilan.
  7. Selain penjagaan luarana, anda juga boleh menjaga kesihatan kulit dari dalam dengan mengambil makanan yang kaya serat seperti buah, kekacang, ikan dan makanan berserat agar kulit sentiasa sihat.
  8. Pengambilan yogurt elok sepanjang Ramadan ini. Kandungan protein yang tinggi di dalam yogurt akan memberikan nutrisi pada kulit secara optimum. Yogurt juga boleh digunakan sebagai pupur kulit.

Sumber: hmetro.com.my & google (gambar)