Apabila anak kecil menangis, ia merupakan perkara biasa. Ttetapi, jika ianya berterusan, anak mula mengamuk dan tidak lagi terkawal, pasti hati ibu bapa runsing apatah lagi jika ia berlaku di khalayak ramai.

Gejala anak tantrum atau bahasa mudahnya si kecil mengamuk ini biasanya terjadi ketika si kecil berusi 15 bulan hingga 4 tahun sebagai tanda dia tidak menyenangi sesuatu objek atau sekitarnya.

Tantrum yang ditunjukkan menerusi tangisan diikuti pukulan, jeritan ata menendang sesuatu malah ada yang membantingkan badan atau menghantukkan kepala ke tembok. Memang sukar untuk mengelak anak kecil daripada mengamuk tetapi ada kaedah untuk menenangkannya.

1. Pendekatan Mencegah 

Pastikan anak anda mendapat rehat yang cukup, tidak tertekan dan jangan halang mereka lakukan apa yang mereka inginkan asalkan tidak berbahaya. Tidak perlu bimbang anak akan membuat kacau dan elakkan daripada menghalang atau menghentikan mereka kerana kebiasaan anak kalau dilarang, makin mahu dilakukannya.

2. Bertenang 

Bagi mengawal keadaan, ibu bapa perlu bertenang. Cuba berlembut dengan mereka, memegang tangannya dan memeluknya supaya mereka tidak terus mencederakan diri atau orang lain sekitarnya. Tenangkan anak kecil dengan menjarakkan diri mereka daripada punca kemarahan.

3. Elakkan Mengherdik 

Elakkan mengambil hati atau terasa hati apabila anak mengeluarkan atau mengungkapkan kata-kata benci ketika mengamuk. Tidak usah berasa bersalah kerana gagal mengawal tingkah laku anak. Anggaplah perbuatan mereka itu seketika.

4. Tidak Menawarkan Sesuatu 

Kebanyakan ibu bapa akan mengambil pendekatan memberikan hadiah bagi mengelakkan mereka mengamuk di khalayak ramai. Tetapi, tindakan itu hanya akan membuatkan si kecil menggunakan peluang itu mendapatkan apa yang dihajati dengan mudah.

5. Cuba Berada Di Tempatnya

Kerana keinginannya tidak dipenuhi, anak akan mudah mengamuk. Terangkan dengan berhemah apa bahayanya, kenapa kita tidak membenarkannya atau berikan tempoh yang sesuai untuk masa akan datang.

 

Sumber: Berita Harian (4 April) & Google (gambar)