Hanya Yang Ada Adik-Beradik Ramai Boleh Rasa Pengalaman Ini
Pasti ada saat suka dan duka yang tersendiri apabila dilahirkan di dalam keluarga yang besar. Kalau nak bercerita tentang syoknya ada adik-beradik ni, mesti lah ketika sama-sama sedang membesar. Mesti ramai yang rindu untuk kembali ke zaman itu bukan?
Akan tetapi, tidak semua keluarga dapat menikmati indah dan manisnya hidup bersama ahli keluarga yang ramai. Jom imbau kembali momen dan info buat anda yang berkeluarga besar.
1. Berebut bilik air
Situasi ini akan kritikal ketika waktu pagi. Semua adik-beradik akan berebut nak mandi dulu memandangkan bilik air hanya ada satu. Malah, ada yang berebut nak mandi paling akhir sebab mahukan masa tidur yang lebih.
2. Berebut makanan
Bukannya makanan tidak cukup dimasak oleh ibu, cuma menjadi tabiat. Pantang nampak adik-beradik lain ambik lebih, mulalah nak berebut bergaduh macam anjing dengan kucing. Tidak pernah aman time makan!
3. Siapa last makan basuh pinggan
Dah macam denda pulak siapa last makan basuh pinggan. Sebenarnya situasi ni selalu terjadi pada adik-beradik perempuan kerana adik-beradik lelaki kebiasaannya akan makan lebih cepat. Sebab itu adik-beradik perempuan yang biasanya akan basuh pinggan dan kemas dapur.
4. Makan malam tak cukup tempat duduk
Bila tiba waktu makan malam, semua adik-beradik akan berkumpul dan pastinya tempat duduk di meja makan tidak mencukupi. Cara penyelesaiannya adalah ibu akan bentangkan surat khabar dan semua makan bersila sahaja.
5. Berebut tempat tidur
Situasi bilik tidur tidak cukup adalah apabila ada abang/kakak sulung yang sudah berkahwin dan tidur di rumah. Pastinya bilik tidur akan diberi kepada yang berkeluarga. Yang lain, bentanglah toto dan tidur beramai-ramai di luar.
6. Baju abang/kakak akan jadi bajuku
Adik-adik akan mewarisi baju abang atau kakak sulung mereka. Selagi boleh dipakai, selagi itulah kalau boleh hendak diperturunkan sehingga ke adik yang bongsu.
7. Rumah yang sentiasa meriah
Hal ini semua orang tahu. Rumah akan sentiasa riuh rendah. Ada yang menjerit, ketawa, bergaduh dan macam-macam hal lagi lah. Waktu senyap adalah ketika waktu tidur je.
Sumber: keluarga.my