Ibu mertua selalunya dikaitkan dengan watak yang paling menakutkan dalam hubungan rumah tangga.

Ternyata peranan ibu mertua seperti yang dipersembahkan melalui filem P Ramlee, Ibu Mertuaku benar-benar memberikan kesan yang mendalam kepada kita.

Watak Nyonya Mansur memperlihatkan simbolik ibu mertua yang zalim dan angkuh kepada menantunya. Tetapi, benarkan semua ibu mertua sebegitu?

Jangan terpedaya dengan watak-watak filem sehingga memberikan impak kepada kehidupan seharian kita.

Sebagai menantu, kita harus mencorakkan satu-satu hubungan dengan ibu mertua sebaiknya. Jom lihat tip menjadi menantu pilihan ini.

1. Elak Tanggapan Buruk 

Wanita sering kali bersangka buruk dengan ibu mertua kerana bimbang tidak dapat menjadi isteri yang baik kepada anaknya. Tanggapan negatif inilah yang membawa kepada aura negatif. Cuba bersangka baik dengan ibu mertua dan semuanya akan baik-baik sahaja.

2. Belajar Kenal Ibu Mertua 

Ketika di awal perkahwinan, belajarlah untuk lebih mengenali sikap ibu mertua anda. Tanyakan pada pasangan anda, apa yang disukai dan dibenci mertua. Ketahui bagaimana ibu pasangan anda dan cuba untuk mengikut rentaknya. Kekalkan kesopanan dan tertib tatkala bersama dengannya.

3. Samakan Dengan Ibu Sendiri 

Hormat dan anggaplah ibu mertua anda seperti ibu kandung sendiri. Layanlah dia sempurna dan hormatilah dia dengan sebaiknya.

4. Ambil Hati Ibu 

Cuba berusaha dalam memenangi hatinya sentiasa. Selalulah pulang menjenguk ibu di kampung. Semakin kerap anda meluangkan masa semakin baik hubungan yang cuba dijalinkan. Mendekatkan ibu mertua dengan cucu-cucunya pasti membuatkan ibu lebih gembira.

5. Hadiah Sampingan 

Bukan hanya mengambil hati, tetapi anda juga harus bijak mencuri hatinya. Biarkan hatinya tersentuh dengan pemberian ikhlas daripada anda.

6. Jadikan Kawan

Ubah angin dan rentak hubungan anda dengan menjadikan ibu mertua seperti kawan. Berkongsilah apa sahaja dengannya asalkan tidak melampaui batas. Cubalah berinteraksi secara baik dan ajaklah dia keluar membeli belah atau makan bersama tanpa suami.

 

Sumber: keluarga.my