Ada di antara ibu bapa tidak begitu menggalakkan anak bermain kerana takut mereka tercedera atau baju yang dipakai menjadi kotor. Malah ada juga ibu bapa yang lebih selesa anak bermain dengan gajet atau permainan video berbanding bermain di taman permainan atau bersama rakan. Ibu bapa tidak sedar bahawa bermain itu sangat penting kerana bukan hanya menyihatkan malah juga baik untuk minda anak-anak.

Bermain penting kerana …..

Bermain dan belajar seiring

Tidakkah anda sedar, anak belajar mengenai pelbagai perkara sewaktu bermain. Anak mampu mengenali warna menerusi pokok dan bunga yang dilihat. Dia juga akan belajar mengenai bentuk menerusi permainan yang ada di sekelilingnya. Malah dia juga belajar untuk berinteraksi dengan kawan.

Anak belajar melalui permainan

Banyak kemahiran dapat dibentuk sewaktu dia bermain. Seperti kemahiran kognitif dan sosial. Bukan itu sahaja, bermain juga merangsang minda mereka untuk berfikir seperti bermain permainan menyusun blok. Paling penting, anak belajar cara untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan kawan sewaktu bermain.

Bermain di luar

Sekali sekala, berilah peluang si anak bermain di luar. Memanjat pokok, berlari di atas rumput dan bermain di taman permainan itu terlalu menyeronokkan buat mereka. Jika khuatir keselamatan si anak, anda perlu luangkan masa menemani mereka. Udara yang segar dan pemandangan indah di luar baik untuk anak.

Bermain itu sihat

Anak berlari di sekeliling taman permainan, memanjat dan melompat. Itu adalah sebahagian daripada aktiviti bersenam yang baik untuk fizikal dan stamina mereka. Anak yang sihat mempunyai minda yang cerdas. Jangan halang anak anda untuk menjadi aktif kerana ini membuatkan mereka lebih bertenaga dan gembira.

Bermain mengurangkan tekanan

Jangan salah anggap, anak juga berhadapan dengan tekanan. Apabila mereka bosan di rumah, ini akan memberi kesan kepada emosi mereka. Inilah yang membuatkan anak menjadi memberontak serta nakal.  Jadi, bagi menceriakan si anak, berilah peluang dia bermain di luar bersama rakan. Barulah dia akan gembira.

Sumber: jelita.com.my & google (gambar)