Tip Berpuasa Bagi Ibu Hamil Ikut Trimester
Semua wanita mengimpikan untuk berpuasa penuh ketika hamil kerana tidak mengalami kedatangan haid. Tetapi ada keadaan yang perlu diambil kira oleh wanita hamil sebelum mengambil keputusan untuk berpuasa.
Ini kerana setiap trimester kehamilan (satu, dua dan tiga) adalah fasa pertumbuhan ibu dan janin yang pesat. Setiap trimester menyaksikan perkembangan yang berbeza dan memerlukan sumber nutrien tertentu untuk menyokong. Menurut Dr Jumeah Shamsudin, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, DEMC Specialist Hospital tiada halangan untuk ibu hamil berpuasa sekiranya ibu-ibu ini sihat tanpa penyakit kronik yang membahayakan kesihatan.
Walau bagaimana pun, Islam mempunyai rukhsah yang membolehkan mereka untuk tidak berpuasa sekiranya tindakan berpuasa itu memudaratkan kesihatan ibu atau anak dan boleh menggantikannya di kemudian hari.
Menurut Dr Jumeah lagi, doktor biasanya akan melarang ibu hamil untuk berpuasa sekiranya mereka mengalami keadaan-keadaan ini.
- Hyperemesesis gravidarum iaitu muntah yang teruk. Keadaan ini menyebabkan ibu-ibu terbabit sentiasa lemah, mual dan mengalami dehidrasi atau kekurangan air dalam badan. Semasa di peringkat ini, ibu-ibu lazimnya kurang mengambil makanan atau minuman. Ekoran dari itu, tubuh mendapat kurang nutrien atau zat makanan akibat muntah yang kerap.
- Penyakit kronik seperti diabetes mellitus (terutamanya apabila kandungan gula dalam darah yang tidak menentu atau sudah dikawal), tekanan darah tinggi, penyakit buah pinggang dan sebagainya. Pesakit-pesakit ini biasanya memerlukan rawatan seperti suntikan insulin atau ubat-ubatan lain yang perlu diambil mengikut masa tertentu. Tanpa ubat-ubatan ini, tumbesaran dan perkembangan bayi di dalam kandungan serta kesihatan ibu akan terjejas.
- Anemia atau kekurangan darah semasa mengandung.
- Oligohidramnios iaitu keadaan air ketuban yang sedikit atau kering.
- Bayi dalam kandungan didapati mengalami gangguan tumbesaran.
TIP BERPUASA MENGIKUT TRIMESTER
TRIMESTER PERTAMA
- Semasa awal kandungan atau trimester pertama iaitu bulan pertama hingga ketiga, sebahagian ibu hamil kerap mengalami gejala mual, pening dan muntah. Situasi ini boleh mengakibatkan masalah kekurangan air dalam badan.
- Kekurangan air dalam badan yang kritikal boleh menyebabkan kontraksi dan keguguran.
- Ibu-ibu ini dinasihatkan untuk tidak berpuasa. Namun sekiranya mereka tidak mengalami masalah ini, mereka tiada halangan untuk berpuasa. Dapatkan saranan daripada doktor.
TRIMESTER KEDUA
- Keperluan nutrien atau makanan berzat meningkat pada tempoh ini untuk memastikan pertumbuhan janin dan plasenta pada tahap yang optimum. Dapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa di samping melihat kemampuan diri sendiri.
- Seandainya semasa berpuasa, ibu-ibu ini mengalami masalah hipoglisemia (paras gula yang rendah dari normal) yang menyebabkan mereka lemah dan tidak berdaya, maka beliau perlu mengambil makanan dan tidak memaksa diri untuk terus berpuasa kerana ini boleh membahayakan dirinya dan kandungan.
- Ibu yang hamil pada trimester kedua kerap mengalami HB rendah. Perlu difahami bahawa setiap sel darah merah mengandungi sejumlah besar hemoglobin iaitu pigmen protein yang mampu mengikat molekul oksigen. Fungsi utama hemoglobin adalah untuk mengangkut oksigen dari paru-paru ke jaringan saluran darah tubuh dan mengangkut karbon dioksida daripada jaringan saluran darah tubuh kembali ke paru-paru.
- Hemoglobin (hb) yang rendah (anemia) semasa hamil di dalam trimester kedua kebanyakannya adalah disebabkan oleh kekurangan zat besi yang penting dalam pembentukan hemoglobin.
- Ambil makanan yang kaya dengan zat besi dan suplemen atau makanan tambahan zat besi dapat membantu meningkatkan paras hemoglobin dalam darah ibu hamil terbabit.
- Bagi mereka yang ingin berpuasa, pengambilan makanan dan suplemen ini perlu diambil semasa berbuka puasa, waktu malam dan juga semasa bersahur.
- Ibu-ibu yang mengalami kekurangan hemoglobin (low HB) yang teruk akan mengalami simptom atau tanda anemia seperti keletihan, rasa mual, sakit kepala dan sesak nafas. Elakkan berpuasa. Jika ibu-ibu berpuasa, keadaan akan lebih buruk dan boleh membahayakan dirinya. Mereka biasanya memerlukan transfusi darah di samping pengambilan zat besi.
TRIMESTER KETIGA
- Diet yang seimbang perlu ditekankan. Ibu-ibu yang hamil dalam trimester ketiga yang ingin berpuasa harus makan sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu ketika bersahur dan berbuka puasa.
- Pengambilan makanan sepatutnya mudah dan tidak berbeza terlalu banyak daripada diet biasa. Ia perlu mengandungi makanan daripada semua kumpulan makanan utama (karbohidrat, protein, lemak, vitamin& mineral).
- Makanan untuk bersahur perlu menyeluruh untuk memberikan tenaga yang cukup untuk bertahan semasa waktu berpuasa yang panjang. Sahur harus merangkumi makanan berikut:
- Makanan berkarbohidrat yang tinggi serat seperti beras perang dan roti bijirin penuh mengambil masa yang lama untuk di hadam, membantu untuk mengekalkan tahap tenaga lebih lama.
- Daging, ayam, ikan dan produk tenusu rendah lemak adalah sumber protein. Ia membantu membaiki dan membina tisu badan dan membina sistem imun anda. Pengambilan produk tenusu yang mengandungi kalsium yang tinggi juga membantu mengekalkan tulang yang kuat.
- Buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan serat, buah-buahan dan sayur-sayuran adalah penting semasa berpuasa kerana mereka meningkatkan rasa kenyang dan membantu mengelakkan sembelit. Ia juga mengandungi vitamin, mineral yang penting untuk kesihatan yang baik.
- Iftar atau berbuka puasa adalah masa untuk anda menambah tahap tenaga. Usaha perlu dilakukan untuk mengambil makanan daripada semua kumpulan makanan utama: buah-buahan dan sayur-sayuran, beras dan alternatif serta daging dan alternatif (termasuk tenusu).
- Utamakan sumber karbohidrat kompleks seperti roti mil penuh, beras perang yang menyediakan tubuh dengan tenaga, serat dan mineral berbanding dengan makanan bergula dan pencuci mulut yang membakar dengan cepat.
- Ambil protein dari sumber seperti daging tanpa lemak, ayam tanpa kulit, ikan, telur, kekacang dan produk tenusu rendah lemak.
- Ambil air minuman yang mencukupi dan berusaha untuk mengelakkan dehidrasi. Minumlah sekurang kurangnya 2 liter sehari. Elakkan mengambil minuman yang mengandungi kafein seperti kopi dan teh merangsang kehilangan air dengan lebih cepat melalui sistem perkumuhan.
MAKAN KURMA BAGI IBU HAMIL
Secara tradisinya pada bulan Ramadan, kurma dimakan pada permulaan Iftar untuk melambangkan berbuka puasa. Selain menjadi sumber terbaik tenaga, kurma juga kaya dengan kalium – membantu otot dan saraf berfungsi dengan baik. Tetapi jangan mengambil terlalu banyak kerana kurma mengandungi tahap gula yang tinggi.
Sumber: majalahpama.my & google (gambar)