Tip Mesti Buat Untuk Ibu Mengandung – Minum Air Gula
Ibu mengandung selalu mengeluh apabila disuruh meminum air gula. Dan kebanyakan ibu hamil sering merasa tidak selesa dan bimang apabila melalui ujian minum air gula. Tak mampu mereka bayangkan rasa air gula pekat yang terlalu manis melalui kerongkong tekak mereka.
Air gula atau Modified Glucose Tolerance Test (MGTT) dilakukan bagi memastikan ibu hamil tidak mempunyai masalah kencing manis ketika hamil atau Gestational Diabetis Mellitus (GDM). MGTT lebih dikenali ramai sebagai ujian minum air gula.
Jika anda sedang hamil atau bakal melalui ujian ini, ikuti tip yang kami kongsikan ini bagi membantu anda minum air gula tanpa masalah.
1. JAGA PEMAKANAN
Hadkan pengambilan makanan sehari sebelum ke klinik. Kalau boleh, minum air kosong sebanyak mungkin. Kurangkan nasi dan lebihkan sayur-sayuran dalam hidangan makanan.
2. BERPUASA
10 jam sebelum ujian air gula, anda perlu berpuasa. Walaupun diminta berpuasa, anda hanya tidak boleh makan tetapi masih dibenarkan untuk minum. Hanya air kosong dalam kuantiti yang sedikit sahaja dibenarkan. Jangan ambil air manis dan bergula.
3. MINUM DENGAN CEPAT
Minum dan habiskan 200ml air gula itu sekaligus dan pantas. Tutup hidung jika perlu, asalkan anda dapat menghabiskan air gula yang diberi.
4. KUMUR MULUT SELEPAS MINUM
Bagi mengelakkan rasa loya dan mahu muntah, segera kumur mulut dengan air paip yang bersih setelah minum air gula. Ini akan membantu menghilangkan kemanisan air gula yang ada di dalam mulut.
5. BEREHAT DI TEMPAT YANG SELESA
Berehat dan bebaring di tempat yang bersesuaian jika berasa mahu pitam. Anda disarankan menghabiskan masa dua jam sebelum ujian darah kedua di tempat yang tidak mempunyai bau supaya dapat menghindarkan anda daripada termuntah.
6. JANGAN TERUS MAKAN BERAT
Jangan terus makan makanan berat selepas ujian darah kali kedua. Mulakan dengan meminum air kosong, makan biskut atau roti terlebih dahulu. Apabila keadaan kembali stabil, barulah anda boleh menjamah makanan seperti biasa.
Sumber: majalahpama.my & google (gambar)

