Siapa yang tidak suka makan ‘seafood’ bukan? Selain daripada memiliki rasa yang enak dan lazat, ‘seafood’ juga terkenal dengan kandungan zat gizi dan nutrisi yang bermanfaat untuk tubuh. Antara salah satu jenis ‘seafood’ yang kaya dengan protein adalah kerang. Kerang memang enak dimakan walaupun dengan direbus sahaja.

Masalah yang kadang kala ibu-ibu hadapi sewaktu mencuci kerang adalah kerana ia berpasir. Pasti kita ingin menghilangkan semua kotoran dan mengeluarkan pasir di dalamnya bukan? Jangan risau. Kami ada petua mudah untuk membersihkannya.

1. Pilih kerang yang masih dalam keadaan segar. Bagaimana? Ketukkan cengkerang kerang pada permukaan mendatar dengan lembut. Jika kerang itu tidak tertutup dalam masa beberapa minit atau kerang tersebut pecah dan rosak, kerang itu bukanlah kerang yang segar.  Malah, jika kerang tidak terbuka ketika dimasak, ia menunjukkan bahawa kerang itu sudah tidak segar atau sudah rosak. Buangkan sahaja kerang berkenaan.

2. Rendam kerang di dalam air yang berisi ais dan garam. Garam akan membantu mengeluarkan kotoran yang terdapat dalam kerang dan menghilangkan racun serta bakteria dalam kerang. Simpan rendaman kerang di dalam peti sejuk selama 20 hingga 60 minit.

3. Selesai merendam, keluarkan kerang satu persatu dan toskannya. Jangan keluarkan kerang sekaligus kerana khuatir pasir akan tercampur sekali. Cuci kembali kerang yang dikeluarkan di bawah air mengalir.

4. Anda juga boleh gunakan beberapa batang serai yang ditumbuk (jangan hancurkan). Gaulkan batang serai tadi dan kerang di dalam air. Biarkan selama 10 minit dan toskan. Hasilnya, kulit kerang akan lebih bersih.

Selamat mencuba!

 

Sumber: mingguanwanita, selerarasa.com & Google (gambar)