Haa jangan ingat jerawat hanya boleh ‘melepak’ pada kulit wajah sahaja tau, ia juga mampu berada di sekitar belakang badan juga.

Jerawat di belakang badan sangat memalukan apabila ketika bersama rakan mahu pun pasangan anda. Jom kita baca antara punca terjadinya jerawat badan ini.

Secara umumnya jerawat adalah keadaaan abnormal pada kulit disebabkan gangguan rembesan berlebihan kelenjar minyak (sebaceous gland) sehingga menyebabkan liang roma tersumbat. Ini menyebabkan radang membengkak sehingga terjadi jerawat pada dada, belakang badan dan muka.

  • Faktor hormon terutama untuk perempuan dalam lingkungan umur subur adalah punca utama masalah jerawat. Majoritinya adalah dalam belasan tahun dan awal 20 ‘an.
  • Faktor keturunan seperti ahli keluarga yang banyak jerawat juga memainkan peranan.
  • Penggunaan pil perancang, ubat steroid, vitamin B12.
  • Kosmetik, pakaian yang ketat atau apa saja yang menutup liang minyak memberi masalah jerawat di kulit.
  • Sesetengah dari jerawat timbul dari ketegangan dan stress emosi yang dihadapi setiap hari. Ini mungkin dari penghasilan minyak dan sebum dikulit yang bertambah.
  • Terdedah kepada asap dan bahan kimia atau faktor alam sekitar seperti cuaca panas.
  • Masalah jerawat di badan seringkali dikaitkan dengan faktor peluh (tidur ketika badan berpeluh).

Walau apapun punca yang menyebabkan jerawat tersebut, apa yang perlu dilakukan adalah mengatasinya daripada terus mengganggu dan membelenggu diri anda.

Antara perkara yang anda perlu lakukan bagi mengelak jerawat badan :

  • Setelah melakukan aktiviti luar rumah sepanjang hari, gantikan pakaian anda.
  • Elakkan menggunakan pakaian yang berlapis-lapis agar bahagian dada dan badan tidak tertutup rapat.
  • Elakkan dari pakaian yang tidak menyerap peluh.
  • Rajin bersihkan diri. Mandi dengan menggunakan sabun yang mampu membunuh bakteria dan membuang sel-sel mati, bukan hanya bergantung pada bau sabun itu sahaja.
  • Amalkan gaya pemakanan yang sihat.
  • Sentiasa tukar tuala dan cadar tempat tidur.

 

Sumber : Ekesihatan