Perkara Yang Anda Tidak Sedar Boleh Membuatkan Bayi Anda Bijak
Sebaik sahaja anda selamat bersalin, bayi anda akan mula untuk belajar sesuatu yang baru. Banyak perkara yang dia perhatikan mungkin di luar kawalan anda.
Walau bagaimanapun ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk membantu dia mempercepatkan pembelajarannya. Anda mungkin tak perasan ia sebenarnya memberi perbezaan terhadap perkembangan si kecil.
Berikut adalah 5 cara anda boleh bantu si kecil mengembangkan otaknya:
- Tunjuk jari anda
Orang tua kata tak elok tunjuk jari pada orang lain. Tetapi menurut kajian yang diterbitkan dalam Infant Behavior & Development, kanak-kanak belajar bahasa lebih pantas bila ibu bapa menunjukkan ke arah objek ketika mengajar sesuatu perkataan. Jadi, bantu anak untuk mengembangkan kemahiran komunikasinya. Lakukan dengan jelas gerak isyarat tentang apa yang anda cakapkan atau ketika bermain permainan, tunjuk ke arah objek dan beritahu namanya.
- Cakap dalam intonasi berlebihan
Ramai orang percaya yang dia perlu menekan bunyi suara ketika mengucapkan ayat kepada bayi seperti “adikkkkk sangattttt bijakkkk”. Bagaimanapun, ada kajian menyarankan ‘baby talk’ adalah naluri untuk sesuatu sebab. Kajian ini menunjukkan satu hubung kait antara ‘infant-directed speech’ dan jangka masa panjang pengenalan kata. Menurut kajian yang dijalankan di Boston University, bercakap dengan bayi dengan tatabahasa mudah dan intonasi yang berlebihan sebenarnya meningkatkan keupayaannya mengingat perkataan lebih panjang berbanding jika anda bercakap dengan bayi sama seperti bercakap dengan orang dewasa.
- Biarkan bayi makan bersepah
Biasanya ibu bapa mengharapkan bayi mereka boleh makan dengan tertib, sempurna dan tidak bersepah. Menurut kajian diterbitkan dalam Developmental Science, kanak-kanak yang buat sepah dengan makanan akan mengembangkan kemahiran bahasa lebih cepat berbanding yang tidak berbuat demikian. Ahli sains membuat hipotesis bahawa ia boleh jadi satu cabaran kepada si kecil untuk mengenal pasti objek yang boleh bertukar bentuk (seperti susu atau sos).
- Jangan beri apa yang mereka mahu
Ada banyak alasan mengapa tak boleh menurut apa yang dikehendaki oleh si kecil. Dengan cara tidak memenuhi semua kehendaknya, anda sebenarnya telah mengajarnya lebih bersabar dan keupayaan memuaskan kehendaknya.
- Biarkan mereka menonton TV
Si kecil akan berseronok semasa menonton TV, dalam masa yang sama mereka belajar. Kajian menunjukkan yang rancangan televisyen boleh mengajar kanak-kanak, mempengaruhi sikap terhadap budaya dan bangsa lain, memperbaiki perilaku dan mengenal huruf.
Tetapi jangan pula membiarkan anak anda duduk depan TV sepanjang hari dan kepintaran itu berlaku sendiri tanpa mengawal apa rancangan yang ditonton. Menurut kajian, hanya program pendidikan sahaja yang memberi kebaikan kepada kanak-kanak. Sementara rancangan hiburan dan filem yang tidak bermanfaat hanya akan memberi kesan negatif.
Sumber :Majalah Pa Ma

