Betul Ke Cara Anda Menyimpan Makanan Di Dalam Peti Sejuk?
Mesti ramai yang akan menyimpan lebihan makanan di dalam peti sejuk bukan? Perkara itu adalah perkara biasa yang kita lakukan dalam kehidupan seharian. Peti sejuk terbahagi kepada dua bahagian iaitu ruang penyejukan dan ruang pembekuan. Tahukah anda kedua-dua ruang ini mempunyai fungsinya yang tersendiri bagi memelihara kualiti makanan? Berikut adalah tip menyimpan makanan dalam peti sejuk yang anda perlu tahu.
SIMPAN LEBIHAN MAKANAN DI DALAM BEKAS BERTUTUP
Simpan lebihan makanan dalam tin ke dalam bekas bertutup. Elakkan menyimpan terus lebihan makanan dalam tin seperti tuna, sardin, susu pekat manis dan sebagainya ke dalam peti sejuk. Makanan akan terdedah ke udara dan bertindak balas dengan logam tin.
SIMPAN SEMUA MAKANAN YANG TELAH DIMASAK DALAM BEKAS BERTUTUP
Tujuannya adalah bagi mengelakkan makanan daripada menjadi cepat kering, tercemar, berubah bau dan tumpah semasa penyimpanan.
SEJUKKAN MAKANAN SEBELUM DISIMPAN
Jangan simpan makanan yang masih panas ke dalam peti sejuk kerana ia akan menghalang pertambahan kelembapan serta mengekalkan suhu dalam peti sejuk.
JANGAN SIMPAN LEBIHAN MAKANAN LEBIH DARIPADA LIMA HARI
Elakkan simpanan makanan terlalu lama kerana dikhuatiri makanan tersebut telah dicemari bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan serta memudaratkan kesihatan.
SUSUN BAHAN MAKANAN DENGAN TERATUR
Bila ruang peti sejuk terlalu padat, udara sejuk tidak dapat beredar dengan baik sekaligus menyebabkan makanan yang disimpan cepat rosak. Jadi, elakkan daripada memenuhi ruang peti sejuk anda dengan makanan yang banyak.
JANGAN SIMPAN DAGING, AYAM, IKAN LEBIH DARIPADA TIGA HARI
Daging, ayam dan ikan merupakan sumber protein yang mempunyai kadar kelembapan yang tinggi. Jadi, bakteria akan cepat membiak dan menjadikannya cepat busuk. Jika ingin menyimpannya dalam tempoh yang lama, simpan di dalam ruangan sejuk beku.
SIMPAN SAYUR-SAYURAN DAN BUAH-BUAHAN DI BAHAGIAN LACI BAWAH PETI SEJUK
Simpan sayuran dan buahan di ruangan laci bawah yang disediakan. Penggunaan beg plastik berlubang juga membantu mengurangkan kehilangan air dan membantu peredaran udara.
Sumber: Sinar Harian (12 Mac) & Google (gambar)

