Buat lah macam mana pun, macam-macam resepi telah cuba, anak tetap tak mahu makan. Kalau makan pun sikit saja, lepas tu tinggalkan. Ibu mana yang tak susah hati kalau anak ada masalah ini. Ye lah kan, di usia kecil ini lah mereka perlukan banyak khasiat serta zat dari pemakanan.

Kekurangan zat bukah sahaja boleh menyebabkan perkembangan dan tumbesaran si kecil terbantut, malah boleh memberi kesan negatif terhadap sistem imun mereka dan lebih mudah mereka untuk mendapat jangkitan atau lambat pulih apabila jatuh sakit.

Berikut adalah panduan kepada para ibu yang berhadapan masalah ini.

1. Mulakan dengan tepat

Ketika pengenalan makanan pejal pada usia 6 bulan, mulakan dengan sayur-sayuran terlebih dahulu. Ini kerana jika si kecil diperkenalkan dengan rasa manis dari buah-buahan, mereka akan cenderung untuk menolak sayur-sayuran.

2. Jadi contoh yang baik

Kanak-kanak adalah pemerhati terbaik dan mereka akan mengikut apa yang ibu bapa lakukan. Jika ibu bapa cerewat, maka anak-anak juga cenderung untuk cerewet. Jadi, ibu bapa harus mengambil pemakanan sihat supaya anak-anak mengikut.

3. Perlu kreatif 

Hiaskan dan pelbagaikan gaya persembahan pada makanan. Kanak-kanak sangat sukakan warna. Jadi, buatkan mereka makanan yang lebih ceria dan berwarna-warni.

4. Kawal pengambilan cecair 

Pengambilan air tidak kira daripada sumber susu atau minuman. Sekiranya si kecil kenyang dengan air sahaja, mereka akan menolak untuk makan. Ingat! Ketika anak lapar, berikan makanan bukan minuman.

5. Kekal seimbang 

Amat penting untuk mengambil makanan yang seimbang daripada sumber karbohidrat, protein dan juga lemak. Jangan berikan si kecil hanya satu sumber sahaja. rujuklah piramid makanan bagi mengetahui makanan-makanan daripada sumber-sumber tersebut.

 

Tip Ibu Kreatif Di Dapur 

  • Hiaskan atau bentukkan makanan yang dihidang dengan menarik seperti gambar kartun, bulan, bintang dan sebagainya.
  • Pelbagaikan makanan dengan pelbagai warna.
  • Gunakan peralatan hidangan yang bercorak dan berwarna mengikut minat kanak-kanak.
  • Cuba mempelbagaikan hidangan makanan dan juga cara penyediaan makanan yang berbeza.
  • Jika si kecil enggan memakan buah secara terus, jadikannya dalam bentuk jus, dilenyek lembut atau dijadikan puding.
  • Rujuk buku-buku resepi, majalah-majalah, rancangan masakan di televisyen yang menunjukkan kepelbagaian dalam penyediaan makanan.