Kenapa orang lebih mahu membeli sahaja makanan di luar? Ini kerana ia mudah. Bukan tidak mahu memasak, tetapi proses memasak itu sendiri mengambil masa yang terlalu lama dan meletihkan. Mana nak siapkan rencah lagi, membasuh pinggan serta kuali dan mengemas dapur pula selepas itu. Remeh dan memenatkan bukan?

Tetapi, pada mereka yang sudah berkeluarga pastinya ada hari ingin memasak di rumah untuk menjamu keluarga dengan air tangan sendiri. Ini kami kongsikan tip untuk tidak akan meletihkan anda sesama di dapur.

1. Pes Perencah Segera 

Pes perencah segera sebenarnya boleh saja dibeli di pasaran tetapi mungkin rasanya tidak kena dengan selera sebilangan orang dan mahal pula tu untuk kuantiti pes yang sedikit. Pastinya pes perencah segera buatan sendiri lebih terjamin kualiti dan kesedapannya berbanding yang dijual siap.

Antara pes perencah yang mudah disediakan adalah pes kari, gulai lemak, sambal tumis, asam pedas, masak lada hitam, tomyam dan paprik. Anda boleh memasak semua pes perencah ini di hujung minggu dan disimpan beku atau dingin di dalam peti sejuk.

Ketika hari di mana anda tidak mempunyai banyak masa untuk memasak, keluarkan sahaja pes perencah tadi dan panaskan sahaja sebelum memasukkan bahan-bahan mentah. Jadi mudah bukan proses memasak anda?

2. Kuih-Muih Sejuk Beku 

Kini sudah banyak jenis kuih yang ada di pasaran sama ada kuih yang sedia untuk digoreng atau dikukus sama ada anda buat sendiri ataupun beli yang sudah siap dipek. Jika mampu membuatnya sendiri, sediakan beberapa adunan dan disimpan dalam peti sejuk. Jika selesa membeli yang sudah siap, boleh dibuat stok.

Kuih-muih sejuk beku yang sering menjadi pilihan adalah donat, karipap, samosa, pau dan popia. Cuma keluarkan sahaja daripada peti sejuk dan terus goreng atau kukus. Selalunya proses ini hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Cara ini sesuai untuk menyediakan sarapan untuk anak-anak, atau setelah balik kerja. Senang, bukan?

3. Rencah Sedia Di Masak 

Jika tidak suka siapkan pes perencah, boleh cuba siapkan rencah-rencahnya saja. Contohnya, kisar siap cili dan bawang, potong siap sayur-sayuran atau siang siap bahan-bahan mentah. Ikan dan ayam yang sudah dibersihkan dan dipotong, boleh digaul dengan garam dan kunyit sebelum disimpan di dalam peti sejuk. Cara ini akan menjimatkan masa anda memasak dan bahan mentah juga boleh tahan lebih lama.

4. Masak Sambil Basuh Pinggan Mangkuk 

Tengok mak-mak kita. Ini gaya mereka ketika di dalam dapur. Sambil memasak, masa itu juga memreka basuh segala pinggan mangkuk yang ada di dalam sinki. Cara ini akan membantu mengurangkan tempoh membasuh. Jangan tunggu sehingga selesai memasak untuk membasuh semua pinggan, mangkuk dan kuali.

5. Menu Sedia Dimakan 

Jika anda mempunyai menu sedia di makan, pastinya keadaan akan menjadi lebih mudah. Anda hanya perlu memasak lebih awal. Setelah siap memasak, sejukkan sebentar dan masukkan menu tadi ke dalam bekas dan disimpan beku. Jika tiba masa untuk makan, nyah bekukan, panaskan di atas dapur atau gunakan sahaja microwave.

6. Resepi 15 Minit

Sekarang ini dunia di hujung jari. Tiada masalah untuk anda mencari resepi yang ringkas dan pantas di internet atau cara konvensionalnya dengan membeli buku dan majalah resepi. Bahan-bahan yang digunakan juga tidak banyak dan proses memasak yang terlibat hanyalah ringkas sahaja. Mungkin anda boleh masak dengan apa sahaja bahan yang ada di dapur anda. Adakalanya yang ringkas itu lebih sedap.

 

Sumber: thevocket.com & Google (gambar)