Perbezaan Antara GURU Dan CIKGU
Ramai yang keliru akan perkataan ‘Guru’ dan ‘Cikgu”.
“Cikgu, saya tidak faham soalan ini”
“Guru, saya tidak faham soalan ini”
Ini merupakan pandangan Dr Cikgu Muhammad Ariff Ahmad dalam satu majalah mengenai perbezaan ini.
Apakah perbezaan antara dua perkataan tersebut? Ramai juga yang berpendapat bahawa ‘cikgu’ dan ‘guru’ itu adalah perkataan seerti dan boleh menggantikan satu sama lain.
Ada juga yang berpendapat bahawa ‘cikgu’ itu merupakan panggilan kepada guru, contohnya panggilan ‘Cikgu Sarimah’, ‘Cikgu Aizah’, ‘Cikgu Hasnida’.
Perkataan ‘guru’ pula membawa makna orang yang mengajar (teacher). ‘Guru’ juga membawa pengertian umum bagi ‘cikgu’.
Contohnya:-
Cikgu Aizah mengajar di sekolah menengah. Anaknya yang sulung menjadi seorang guru.
Menurut Kamus Dewan, perkataan ‘cikgu’ berasal daripada dua suku kata iaitu ‘cik’, singkatan daripada perkataan ‘encik’. Kata ganti nama ‘encik’ juga digunakan sebelum nama perempuan yang belum berkahwin atau digunakan sewaktu bercakap dengan perempuan atau lelaki yang tidak begitu dikenali. Singkatan bagi perkataan ini ialah ‘cik’.
Contoh: Cik Hasyimah, Cik Faizal
Kata ganti nama ‘cik’ yang diikuti perkataan ‘gu’, membentuk perkataan ‘cikgu’, yang digunakan sebagai panggilan kepada guru (dalam bahasa Inggeris, teacher).
‘Guru’ bermaksud orang yang mengajar, pendidik, pengasuh.
Jadi, betullah pendapat yang mengatakan bahawa perkataan ‘cikgu’ digunakan bagi nama panggilan, contohnya Cikgu Kamisah, Cikgu Farid dan nama-nama khas yang lain, manakala perkataan ‘guru’ digunakan dalam bentuk nama am bagi perkataan ‘cikgu’.
Pendapat orang dahulu adalah perbezaan makna dan tugas dalam perkataan ‘cikgu’ dan ‘guru’ itu sendiri. Suku kata ‘gu’ dalam bahasa Sanskrit bermaksud ‘orang yang mengajar’ dan suku kata ‘ru’ pula bermaksud ‘contoh yang baik’.
Jadi, apabila kedua-dua suku kata itu dicantumkan, ia membawa erti ‘orang yang mengajar dan menunjukkan contoh yang baik’.
‘Cikgu’ pula bererti orang yang tugasnya hanya mengajar.
Orang yang dipanggil ‘guru’ mempunyai tugas dan tanggungjawabnya yang lebih berat berbanding ‘cikgu’ kerana ‘guru’ bertugas mengajar dan menunjukkan contoh yang baik dari segi peribadi dan tingkah laku.
Cikgu hanya mengajar atau menyampaikan ilmu dan tugasnya selesai selepas waktu sekolah. Manakala guru pula tugasnya mengajar dan menunjukkan contoh yang baik untuk membentuk akhlak dan peribadi anak didiknya.
Sumber: sketsamasyarakat.blogspot.com & Google (gambar)



