Terapkan Nilai Ini Dari Kecil Untuk Adik Beradik Sentiasa Rapat Dan Saling Menyayangi
Lihat anak-anak anda. Pasti banyak yang anda harapkan daripada mereka bukan? Salah satunya adalah mengharapkan mereka adik-beradik sentiasa bersatu dan saling sayang menyayangi sampai bila-bila. Harapan anda ini haruslah diusahakan daripada anak-anak masih kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.
Ini adalah nilai yang harus diterapkan agar anak-anak saling menyayangi dan kekal rapat.
- Sama Adil
Ibu bapa sering tidak sedar akan ketidak adilan mereka kepada anak-anak. Contohnya si adik membuat silap tetapi yang dimarahnya yang sulung dengan alasan yang tua tidak menjaga yang kecil. Apabila situasi ini terlalu kerap berlaku, si sulung akan membenci adiknya dan membuatkan mereka secara tidak langsung menjadi jauh dan mencemburui antara satu sama lain.
Anak-anak akan sentiasa menuntut untuk dilayan serta dihargai sama rata tidak kiralah apa jua situasi. Jadi, ibu bapa harus bijak mengawal situasi agar ada yang tidak terasa hati. Ibu bapa harus ingat, kebiasaannya anak yang rasa dirinya tidak disayangi, mereka akan menjauhkan diri daripada keluarga apabila semakin besar.
- Sikap Tolong-Menolong
Sikap tolong-menolong ini harus diajar daripada awal lagi walaupun mereka masih kecil. Contohnya apabila adik keluarkan permainan dan ketika berkemas. Ajak abang atau kakak untuk menolong mengemas bersama-sama. Sambil mengemas, anda mungkin boleh berikan pujian atau bermain siapa lagi pantas menyimpan. Anak-anak akan merasa seronok dan bergembira bekerjasama.
Begitu juga apabila abang atau kakak perlukan pertolongan, minta adik bantu juga. Mungkin bantuan tidaklah sebesar mana tetapi ini mendidik mereka adik beradik untuk sentiasa bantu membantu dan susah senang bersama hanya bermula dengan perkara-perkara kecil.
- Makan Sama-Sama
Pelan satu hari untuk semua ahli keluarga berkumpul makan bersama-sama sekurang-kurangnya sekali dalam sehari. Ketika makan bersama, bercerita dan ketawa akan membuatkan keluarga merasa seronok dan menghargai antara satu sama lain. Malah ia juga akan menguatkan kasih sayang antara mereka.
- Jaga Antara Satu Sama Lain
Dalam sehari, pastikan anda pesankan pada anak-anak untuk sentiasa menjaga satu sama lain. Percayalah jika dari kecil anda sudah ingatkan perkara ini pada anak-anak, pesanan ini lah yang akan kukuh di ingatan mereka apabila dewasa kelak.
- Tunjukkan Contoh Yang Baik
Mahu anak-anak jadi baik tetapi diri sendiri tidak begitu. Anda perlu memastikan bahawa hubungan anda dengan adik-beradik adalah baik. Sentiasa tolong menolong, ziarah menzirahi serta sayang menyayangi antara satu sama lain. Contoh yang baik ini akan mereka jadikan sebagai panduan untuk mereka bila dewasa nanti.
Sumber: majalahpama.my & Google (gambar)

