Tip Merangsang Anak Anda Bercakap
Risau anak lambat bercakap? Ini adalah kerisauan utama ibu bapa. Yelah, ibu mana yang tak mahu anak cepat bercakap kan? Kalau boleh semua ibu bapa nak anak membesar dengan sempurna.
Selalunya kita dengar anak sulung lambat bercakap kerana mereka tidak ada kawan nak bercakap. Ada juga orang tua-tua cakap anak cepat berjalan mesti lambat bercakap.
Sebenarnya keadaan itu bukanlah faktor kepada masalah anak lambat bercakap. Jadi ibu bapa harus memainkan peranan merangsang anak-anak untuk bercakap supaya anak tidak ketinggalan.
Berikut adalah beberapa tip yang boleh diamalkan untuk merangsang anak untuk lebih cepat bercakap.
1) Tidak memandang rendah kebolehan anak
Jangan memandang rendah kebolehan anak-anak. Walaupun anak tidak menunjukkan respon seperti yang kita mahu lama-kelamaan mereka boleh terima kerana kita sentiasa mengulangnya.
2) Perbanyakkan kosa kata yang mesra bayi
Biasakan dengan penggunaan bahasa yang mudah disebut dan difahami oleh anak. Contoh mama papa, nak susu, sakit, mandi dan sebagainya. Dedahkan satu atau dua suku kata terlebih dahulu.
3) Ajak anak berbual
Berbuallah dengan anak walaupun anak tak faham. Dengan berbual anak akan dengar banyak perkataan yang disebut. Ini dapat melatih anak cepat bercakap. Biasakan juga anak berkawan dengan rakan seusianya.
4) Bercerita sebelum tidur
Boleh luangkan masa bercerita dengan anak sebelum tidur. Biasakan anak dengan buku cerita bergambar dan mudah untuk kita bercerita dan membuatkan anak seronok. Penceritaan yang dibuat sebelum tidur memudahkan anak mengingatinya.
5) Kurangkan penggunaan gajet
Hadkan penggunaan gajet kerana anak boleh leka dalam dunianya sendiri. Kalau boleh berikan dalam tempoh 1 atau 2 jam sehari. Membiarkan anak terlalu lama dengan gajet tidak akan mewujudkan perbualan aktif dengan anak.
6) Lakukan aktiviti menarik bersama anak
Ajak anak melakukan aktiviti dengan anda. Contohnya berkebun, mengemas rumah atau apa sahaja yang boleh memberi peluang kepada anak untuk bertanya. Mungkin anda boleh menerangkan apa kebaikannya. Jadi anak lebih banyak berkomunikasi.
7) Menggunakan bahasa yang baik
Seharusnya ibu bapa menggunakan bahasa yang baik. Tidak perlu menengking atau marah anak jika melakukan kesalahan. Cuba berbicara dengan baik dan ia salah satu cara untuk mengajak anak bercakap dengan kita. Perbuatan memarahi anak akan membuatkan mereka rasa takut untuk bersuara.
Sumber: majalahpama.my & google (gambar)

