Menurut kajian yang telah dijalankan, seorang anak mampu mengajukan hingga 300 pertanyaan setiap hari manakala anak perempuan 4 tahun lebih banyak bertanya dibandingkan anak lelaki.

Pernahkan anda mengalami keadaan ini atau menghadapai pertanyaan-pertanyaan si kecil yang tak pernah habis? Jangan risau, kali ini dikongsikan tentang cara terbaik untuk anda memahaminya.

Kenapa Mereka Bertanya? 

Menurut pakar perkembangan kanak-kanak, usia 2 hingga 4 tahun adalah waktu pembentukan kemampuan kognitif untuk memahami dan mengetahui mengapa sesuatu itu terjadi. Saat ini adalah penting bagi anda untuk memberikan jawapan yang munasabah.

Jika kita bagi jawapan endah tak endah, anak akan ada satu tanda tanya dalam diri dan kalau kita menipu, fakta itu yang dipegang oleh anak sehinggalah mereka memahami situasi sebenar.

Sebenarnya soalan yang diajukan anak bukanlah untuk mengganggu anda, sebaliknya untuk pengetahuan yang diluar kotak fikiran mereka. Mungkin kita fikir soalan yang ditanya tidak masuk akal tetapi ia antara bahagian penting perkembangan mental anak.

Perlu Bersabar

Jika anda seorang surirumah atau ibu yang bekerja dari rumah, anda memiliki lebih banyak waktu bersama anak-anak dan secara tidak langsung lebih banyak masa untuk menjawab pertanyaan mereka setiap hari.

Cuma anda perlu lebih banyak bersabar dan sentiasa tenang untuk menjawab semua pertanyaan si kecil tanpa membuatkan mereka kecewa sekaligus meningkatkan keinginannya untuk terus belajar.

Konsisten Dengan Fakta

Sebagai ibu bapa kita juga kena konsisten dengan jawapan yang diberikan. Kalau boleh hari ni bagi jawapan sama, esok pun mesti yang sama juga. Kalau jawapannya lain-lain anak akan keliru dan mereka dah tak percaya.

Jangan bagi jawapan tak masuk akal atas pertanyaan anak untuk melepaskan persoalan yang ditanya atau jawapan seperti ‘sebab dah dari dulu macam tu’. Ibu bapa harus kreatif dan perlu berikan jawapan yang sesuai.

Satu lagi jangan bagi jawapan yang terlalu rumit. Kalau boleh guna ayat yang anak mudah faham sesuai dengan umurnya serta tidak digalakkan menggunakan bahasa teknikal.

Biarlah pertanyaan ini menjadi satu aktiviti kesukaan anak dalam proses pembesarannya. Anak yang bijak akan selalu bertanya dan meneroka sesuatu perkara baharu.

Sumber: majalahpama.my & google (gambar)