Hendak Seribu Daya, Jangan Beri Seribu Dalih
“Hendak beribu daya. Belajar melalui Youtube juga boleh menjadikan anda kaya. Bagaimanapun, gadis ini memilih untuk berniaga yang kita biasa lihat dipelopori lelaki.
“Ketika kenderaan berhenti di persimpangan ini, dia akan berjalan di tepi kenderaan untuk menjual sandwicnya,” kata seorang pengguna Facebook, Shamsul Abas yang memuat naik beberapa gambar gadis berkenaan, di laman sosial pada Rabu.
Shamsul berkata, apa yang dilakukan gadis itu adalah sebagai usahanya mencari rezeki tanpa perlu berguru melalui YouTube sambil menasihatkan supaya dia menjaga keselamatan diri.
Selain dikongsi di laman sosial sehingga menjadi tular, ‘posting’ tersebut turut mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-rata memuji kesungguhan gadis itu mencari rezeki.
“Terbaik… moga dipermudahkan segala urusanmu mencari rezeki,” kata seorang lagi netizen.
Dalam pada itu, ada yang menyuarakan kebimbangan mereka mengenai gadis berkenaan yang terdedah kepada risiko dan bahaya di jalan raya.
“Usaha baik, tapi hati-hati ya. Jalan raya laluan kenderaan macam-macam ragam. Bahaya,” kata seorang netizen.
Seorang pelanggan, Zariena Kusnin memuji sandwic yang dijual gadis itu kerana intinya penuh jika dibandingkan dengan kebanyakan sandwic lain.
“Saya mula membeli sandwic daripada dia sejak bulan lalu. Biasanya sandwic tuna, tapi dia turut jual sandwic sardin dan telur.
“Dulang yang dia bawa tu unik kerana diperbuat daripada buluh. Kadang-kadang dalam lubang buluh tu dia selitkan duit, mungkin senang nak bagi baki,” katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, seorang lagi pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Bella, 35, berkata gadis itu turut dilihat berniaga di persimpangan lampu isyarat di Jalan Gombak, Kuala Lumpur.
“Senang kalau dia ada, sebab biasanya kita ‘drive thru’ (pandu lalu) untuk beli makanan, tapi dia sendiri datang ke kereta. Dapat juga sarapan pagi masa tunggu lampu hijau,” kata Bella sambil menambah gadis itu turut dilihat berniaga bersama seorang remaja lelaki.