Sesiapa sahaja yang memakai cermin mata boleh memakai kanta lekap termasuk mereka yang memerlukan kanta multifocal. Teknologi terbaru menjadikan kanta lekap lebih jelas, lebih selesa dan lebih mudah berbanding sebelum ini; menyediakan penglihatan penuh, kebebasan bergerak dan memberikan imej yang baik kepada anda.

Sama ada anda sudah memakai kanta lekap atau sedang dalam pertimbangan ingin memakainya, pastikan anda mendapatkan nasihat daripada pakar optometris tentang jenis kanta lekap yang patut anda ambil, cara penggunaanya dan penjagaan kanta lekap yang sesuai dengan mata dan gaya hidup anda.

Keadaan Yang Memerlukan Kanta Lekap 

Kanta lekap yang betul direka untuk meningkatkan daya penglihatan. Antara keadaan yang memerlukan kanta lekap adalah:

  • Rabun jauh
  • Rabun dekat
  • Astigmatisme (gangguan visual)
  • Presbiopia (penglihatan kabur ketika meningkat usia)

Jenis Kanta Lekap 

Kanta lekap lembut 

  • Lebih 90% orang ramai memakai kanta lekap jenis ini
  • Ianya selesa dipakai, mudah digunakan dan tidak mudah berubah posisi
  • Memperbaiki masalah fokus
  • Terdapat dalam pelbagai warna, sama ada gelap atau menukar warna mata
  • Diperbuat daripada bahan yang fleksibel
  • dikenali sebagai hydrogel yang terdiri daripada bahagian plastik dan air (kanta lekap hidrogel silikon membolehkan lebih banyak oksigen menembusi kanta, penting untuk kornea yang sihat)

Kanta lekap lembut sesuai dipakai oleh mereka yang gemar melakukan aktiviti sukan, mereka yang mempunyai mata sensitif dan juga pada mereka yang tidak gemar memakai kanta lekap setiap hari.

Kanta lekap keras 

  • Memberikan penglihatan yang lebih baik daripada kanta lekap lembut
  • Tahan lebih lama dan tidak perlu kerap diganti
  • Pemakaian pada awalnya mungkin tidak selesa tetapi lama kelamaan akan selesa
  • Diperbuat daripada plastik yang kurang fleksibel

Kanta lekap keras sesuai bagi memperbaiki masalah rabun dan astigmatisme.

Persatuan Optometris Malaysia menasihatkan bahawa semua jenis kanta lekap tidak kira warna, kuasa atau kegunaannya, ia haruslah didapatkan melalui preskripsi yang sah.

Penggantian, Pemakaian dan Jadual Penjagaan 

Kanta lekap yang berbeza perlu diganti pada masa yang berlainan untuk mengekalkan kesihatan mata. Jangka hayat kanta lekap bergantung kepada cara penjagaan jenis kanta lekap.

Kanta lekap pakai buang

Kanta lekap pakai buang merupakan pilihan ramai dan terbaik dari segi kesihatan kerana protein dan bakteria tidak akan melekat di situ. Dengan kanta lekap pakai buang kegunaan harian, anda tidak perlu membersihkan kanta lekap selepas menggunakannya.

Kanta lekap harian 

Kanta lekap harian digunakan pada waktu pagi dan dibuang pada waktu petang. Kanta ini perlu dibersihkan dengan pembasmi kuman sebelum dipakai kembali bagi mengelakkan pengumpulan protein dan bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan mata. Kanta lekap ini biasanya dibersihkan dengan menggosok antara telapak tangan dan jari dengan menggunakan air pencuci yang sesuai. Anda juga boleh dapatkan nasihat daripada pakar optometris anda tentang cara terbaik membersihkan kanta lekap.

Kanta lekap bulanan 

Kanta lekap jenis ini boleh dipakai secara berterusan (pagi dan malam) sehingga tujuh ke 30 hari. Kanta ini membolehkan lebih banyak oksigen masuk ke mata. Hanya ada sesetengah kanta yang boleh dibawa tidur. Dapatkan nasihat pakar optometris anda tentang ini.

Kanta lekap tahan lama 

Kanta jenis ini diganti setelah beberapa bulan. Kanta lekap lembut boleh bertahan sehingga setahun manakala kanta lekap keras boleh tahan lebih lama dan perlu selalu ditukar disebabkan perubahan dalam preskripsi.

Cara penjagaan

Pakar optometris menggalakkan pemakai kanta lekap untuk menjalani pemeriksaan mata setiap 12 bulan sekali untuk memastikan preskripsi dan jenis kanta yang sesua dengan anda dan untuk mengesan masalah dengan lebih awal.

Temujanji penjagaan mata memberi peluang kepada anda untuk menanyakan apa jua soalan berkenaan kanta lekap kepada doktor anda. Oleh kerana kanta lekap diletakkan di mata, ia meningkatkan risiko komplikasi seperti jangkitan mata. Walaupun komplikasi ini jarang berlaku, pemeriksaan mata yang kerap adalah baik. Apabila teknologi semakin berkembang tiap tahu, optometris mungkin akan mencadangkan anda menaik taraf jenis kanta lekap anda.

Sumber: amoptom.org & Google (gambar)