Akhir-akhir ini, kita dikejutkan dengan berita banyak maklumat peribadi dan syarikat-syarikat ternama digodam oleh virus yang dinamakan Ransomware.

Ransomware merupakan sesuatu malware yang mampu memadam atau menyulitkan data pengguna. Ia merupakan satu ancaman keselamatan data yang sangat berbahaya. Malware jenis ini akan menghalang pengguna daripada mengakses fail tertentu dengan cara menyulitkan fail tersebut. Untuk mendapatkan semula akses kepada fail tersebut atau mengembalikan fail asal, ada di antara mereka yang meminta pengguna membayar dengan jumlah tertentu. Virus godam ransomware ini disebarkan melalui email, website yang telah digodam dan sebagainya.

Jom lihat bagaimana untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa ransomware.

1. Hati-hati dengan fail lampiran (attachment) emel

Kebanyakan ransomware datang dari lampiran emel. Cuba elak dari membuka fail yang diterima melalui lampiran emel dari orang yang tidak dikenali. Jika fail tersebut menarik dan anda ingin membukanya, semak keselamatan fail tersebut di virustotal sebelum membukanya. Kebanyakan jenis ransomware akan menjangkiti komputer mangsanya melalui emel.

2. Lakukan salinan data atau fail (back up) 

Membuat salinan data adalah langkah paling mudah dan berkesan untuk melindungi diri anda daripada serangan ransomware. Dengan harga external hard disk yang semakin murah, tiada alasan lagi untuk anda melakukan salinan data. Malah, terdapat juga cloud storage percuma yang mempunyai internet yang laju seperti Google Drive, Dropbox, OneDrive dan sebagainya.

3. Sentiasa kemas kini perisian anti-virus

Ambil initiatif untuk mengemaskini semua perisian secara tetap. Kemas kini perisian anti-virus bertujuan untuk melindungi daripada virus ransomware yang baru. Ramai yang terlepas pandang berkenaan hal membeli produk anti-virus tetapi tidak mengemaskini data perisiannya.

4. Elakkan penggunaan perisian cetak rompak 

Ramai di antara kita yang kurang kesedaran dan ilmu tentang hakcipta. Jadi, mereka dengan mudahnya memuat turun aplikasi cetak rompak dari sumber yang tidak boleh dipercayai. Inilah yang menjadi punca bagaimana virus mudah tersebar di alam maya. Kebanyakan pengguna yang menggunakan aplikasi cetak rompak ini tidak akan menyedari kehadiran virus kerana aplikasi ‘warez’ ini biasanya disertakan sekali dengan ‘rootkit’ untuk mengelak dari virus dikesan oleh anti-virus.

5. Jangan percaya sesiapa pun yang berkongsi fail atau pautan 

Pautan atau fail yang dihantar oleh rakan anda, rakan sekerja ataupun rakan permainan dalam talian anda di media sosial berkemungkinan menyebarkan virus melalui akaun mereka. Teknik ‘worm’ ini sangat terkenal di laman sosial kerana ianya sangat mudah tersebar. Biasanya pautan virus ini akan memancing mangsa dengan gambar-gambar perempuan seksi ataupun teks yang sangat provokatif.

 

Sumber: iluminasi.com & Google (gambar)