Alasan Buat Lelaki Perlu Yoga Hari Ini
Jarang sekali kita dengar lelaki aktif dalam melakukan aktiviti yoga seperti wanita. Kebanyakan lelaki beranggapan yoga adalah senaman yang tidak mencabar dan lebih gemar bersenam di dalam gim. Berilah peluang pada diri anda untuk cuba beryoga dan pasti lepas ini anda akan menyukainya.
Senaman adalah rawatan bukan penyeksaan
Senaman bukanlah satu aktiviti yang penuh ‘seksa’ kerana rutinnya perlu mengangkat berat, berlari sehingga kaki kejang, berpeluh sehingga baju basah dan sebagainya. Bahkan anda lebih sanggup memilih berlari di atas ‘treadmill’ hanya kerana anda makan banyak dan mahu membakar kalori. Yoga adalah jalan terbaik untuk bersenam kerana ia merawat tubuh dan tidak menyeksa tubuh anda.
Bertindak sebagai penghapus stres
Yoga berkesan dalam mengurangkan stres dan sakit belakang ketika bekerja menurut hasil kajian di Universiti Press Oxford. Kajian dilakukan ke atas peserta yang dibahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan melakukan yoga dan satu lagi kumpulan tidak melakukan yoga. Ternyata kumpulan yang melakukan yoga dilaporkan kurang stres, kurang sakit belakang dan kurang murung dan lebih tenang berbanding kumpulan lain.
Meningkatkan motivasi dan konsentrasi
Yoga mampu meningkatkan konsentrasi dan fungsi otak menurut kajian telah dilakukan oleh Universiti of illinois dan diterbitkan di dalam Journal of Physical Activity and Health. Seramai 30 peserta yang melakukan yoga mempunyai tahap kecekapan, pembelajaran dan dan fokus yang tinggi berbanding peserta yang melakukan senaman aerobik dan berjalan di atas ‘treadmill’.
Mendapat tidur yang berkualiti
Meskipun hanya melakukan yoga selama 45 minit seperti bermeditasi atau bernafas secara mendalam setiap malam selama lapan minggu, yoga akan membantu memulihkan mereka yang menghidapi insomnia. Kini, mereka akan mempunyai tidur yang berkualiti serta mudah bangun pagi dan bertenaga sepanjang hari.
Membantu mendapatkan postur yang sempurna
Apabila anda menghabiskan masa dengan duduk di hadapan komputer pada jangka masa yang kama, ia akan menyebabkan postur badan yang tidak baik sehingga mendatangkan risiko sakit tulang belakang. Senaman yoga mampu membuatkan otot-otot dan urat badan anda menjadi kendur dan membantu anda mendapatkan satu postur yang sempurna serta memberikan anda keyakinan untuk berjalan dengan penuh gaya.
Tubuh badan lebih lembut dan seimbang
Khabar baik buat penderita strok! Hasil laporan Department of Veteran Affairs menerusi journal Stroke menemui bahawa yoga memperbaiki fungsi tubuh badan dan keseimbangan pesakit yang menghidap strok. Mereka yang mengamalkan yoga dikatakan berjaya berdikari dari terus terjatuh.
Sumber: maskulin.karangkraf.my & Google (gambar)

