Berbasikal, Baik Untuk Kesihatan
Ramai yang mengetahui bahawa jika ingin kekal sihat dan cergas, berbasikal adalah salah satu cara terbaik. Berbasikal boleh dikatakan sebagai senaman yang ideal untuk semua peringkat umur. Secara keseluruhannya, berbasikal dapat meningkatkan kadar kecergasana seseorang. Bahkan, berbasikal juga memberikan lebih banyak kebaikan kepada jantung kita.
Apa baiknya basikal untuk kesihatan?
1. Melancarkan Aliran Darah
Apabila anda berbasikal, pengumpulan toksin dalam badan akan terhalang dan ini akan melancarkan pengaliran darah yang dapat meningkatkan daya ingatan dan konsentrasi seseorang. Berbasikal mampu mengerjakan jantung dan saluran darah dengan mengalirkan darah yang tinggi kandungan oksigen ke seluruh badan sambil membakar lemak dan mengurangkan selulit. Ia akan turut memperbaiki sistem pernafasan, mengalakkan jantung menjadi lebih efisien dan menguatkan otot jantung.
2. Mengurangkan Paras Kolestrol
Berbasikal memainkan peranan dalam mengurangkan kadar kolestrol jahat (LDL) sambil meningkatkan kadar kolestrol baik (HDL). Semakin tinggi nisbah HDL/LDL anda, lebih sihat badan anda kerana kolestrol lebih banyak dibuang berbanding terkumpul.
3. Mengawal Tekanan Darah
Berbasikal mampu membantu merendahkan kadar tekanan darah sewaktu rehat bagi mengurangkan risiko kematian secara mengejut. Ia juga mengurangkan mendapan darah untuk mencegah pelbagai jenis penyakit termasuklah kencing manis dan darah tinggi.
Terdapat banyak tip yang boleh diamalkan bagi meningkatkan prestasi ketika berbasikal. Berikut adalah beberapa cara mudah untuk anda menguatkan badan dan mencergaskan diri ketika berbasikal atau bersenam.
1. Pemakanan Yang seimbang
Pengambilan makanan yang baik merupakan langkah utama dalam mengekalkan kecergasan. Pilihlah makanan yang berkhasiat seperti sayur-sayuran hijau, buah-buahan serta hidangan yang terdiri daripada protein dan karbohidrat yang akan membantu badan anda mendapatkan bekalan nutrien yang diperlukan, menggantikan tisu yang terpakai serta menghasilkan tenaga.
2. Menghidratkan Tubuh
Kadar metabolisme akan berada pada tahap yang rendah apabila kurangnya air dalam badan dan ia akan mengurangkan kemampuan anda untuk bersenam secara efisien. Malah, boleh mengakibatkan kekejangan otot dan masalah-masalah lain. Amalkan pengambilan air pada selingan masa yang tetap sepanjang 2-4 jam selepas anda berbasikal bagi menghidratkan tubuh anda semula.
3. Kekal Fleksibel
Adalah penting melakukan aktiviti memanaskan dan menyejukkan badan dengan cara yang betul kerana ia adalah faktor penting bagi mengelakkan kecederaan. Pemanasan badan membantu anda untuk bersedia secara mental dan fizikal bagi aspek-aspek sukan yang lebih mencabar dan penyejukkan badan akan membantu anda kebali ke mod rehat secara perlahan-lahan.
4. Mendapat Tidur Yang Mencukupi
Tidur adalah baik dalam memberi kesan terhadap aspek kehidupan seharian kita. Ketika anda tidur, badan akan menghasilkan molekul protein dengan lebih banyak dan ini menjadikan anda lebih kuat melawan jangkitan serta membantu anda untuk kekal sihat.
Sumber: Berita Harian (13 Mei) & Google (gambar)

