Elakkan Terperangkap Dalam Kesesakan Lalu Lintas Ke Pejabat
Pada mereka yang tinggal di kota metropolitan pasti tidak akan terlepas daripada kesesakan lalu lintas dan hiruk-pikuk jalan raya yang pastinya membosankan. Namun, anda harus tidak membiarkan keadaan ini mengganggu hari-hari anda. Jadilah pemandu yang bijak dengan merancang perjalanan agar selamat tiba ke pejabat.
BANGUN AWAL
Kebanyakan kita akan mula bekerja seawal 8 pagi atau 9 pagi. Ini yang anda boleh lakukan. Rancang dan rangka masa perjalanan agar tidak lewat tiba di pejabat. Bangung sekurang-kurangnya satu jam awal untuk bersiap dan pastikan anda keluar rumah seawal mungkin jika terpaksa melalui jalan-jalan yang sememangnya sesak pada waktu pagi.
PINDAH
Buat yang liat bangun pagi, berpindah ke kawasan lebih dekat dengan pejabat akan memberi lebih ruang dan masa untuk anda bersiap ke pejabat. Jika mempunyai pilihan, tinggallah serumah dengan rakan sekerja di mana anda boleh pergi kerja bersama. Ini akan menjimatkan penggunaan petrol dan tol.
ALTERNATIF
Anda mempunyai pilihan untuk menaiki kenderaan awam yang selesa. Jika anda bekerja di sekitar kawasan Lembah Klang, kemudah seperti komuter atau Putra LRT dan monorel adalah pilihan bijak bagi tidak menghabiskan masa di atas jalan raya. Malah, pengangkutan alternatif ini akan memudahkan perjalanan anda kerana ia mempunyai jadual tetap.
TUMPANG
Adalah lebih menjimatkan jika anda berkongsi kereta ke tempat kerja bersama rakan kerja anda. Antara kelebihannya adalah jimat kos iaitu tanggungan seperti minyak dan tol dikongsi bersama.
TOLERANSI
Elakkan sikap terburu-buru ketika memandu dan bertolak-ansurlah dengan pemandu lain. Ia merupakan kunci kepada kelancaran ketika di jalan raya. Ikut arahan polis trafik yang bertugas mengawal lalu lintas perjalanan. Jangan kerana ingin cepat sampai ke tempat kerja, anda melanggar peraturan jalan raya sampai dilayangkan saman.
TENANGKAN FIKIRAN
Menurut kajian daripada Kementerian Sumber Manusia, kebanyakan kemalangan berlaku ketika perjalanan ke tempat kerja adalah disebabkan terlalu memikirkan tanggungjawab yang perlu diselesaikan sepanjang hari di tempat kerja. Rancang perjalanan dengan lebih bijak dan cuba tenangkan fikiran sebelum memandu.
Sumber: eh.com.my

