Kali ini Abang Brian ingin menyentuh sedikit tentang isu kekeluargaan. Mungkin ramai yang masih tidak jelas tentang hak seorang isteri dalam rumah tangga. Untuk pengetahuan semua seperti yang diperjelaskan oleh Mufti, hukum isteri meninggalkan suaminya kerana ancaman dan penderaan termasuklah keganasan domestik adalah jatuh pada hukum HARUS.

Hal ini telah diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-24 dan 25/2016 pada Disember 2016 yang lalu sekaligus diluluskan oleh Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs).

Menurut Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dalam kalangan masyarakat terdapat isteri yang begitu taat sehingga apabila dia dipukul, anaknya diseksa suami tetapi tidak melarikan diri kerana takut dianggap nusyuz.

“Pada asalnya Islam tidak membenarkan isteri keluar dari rumah melainkan mendapat kebenaran suami. Namun jika isteri pada tanggapan yang kuat merasakan agama, diri, kehormatan, keluarga atau pun hartanya berada dalam keadaan bahaya yang diiktiraf syarak, maka isteri diharuskan keluar sekalipun tanpa keizinan suami.”

Katanya lagi, terlalu banyak pandangan yang mengelirukan hari ini mengatakan isteri tetap kena taat pada suami membuatkan ramai wanita jadi takut dan ragu-ragu untuk mencari jalan penyelesaian serta perlindungan yang bertepatan demi membela nasib mereka.

“Isteri diharuskan keluar tanpa izin selepas mendapati tiada penyelesaian serta suami gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang selamat dan atau nafkah yang mencukupi. Ia tidak dikira nusyuz sehingga suami dapat menunaikan tanggungjawabnya.”

Haa Abang Brian harap dengan entri kali ini dapat menambah pengetahuan anda terutamanya jika anda seorang isteri. Apa-apapun, pucuk pangkal hanya ada dalam diri anda. 

Sumber : BH Online