Kekalkan Kasih Sayang Antara Suami Isteri
Tiada rumah tangga yang tidak pernah dilanda badai. Pergaduhan kecil dan pertelingkahan itu menjadi asam garam dalam kehidupan berumah tangga.
Apabila menghadapi situasi sebegini, apakah reaksi anda? Adakah anda mencanangkan masalah anda ke satu dunia ataupun menjadi bijak dengan menyembunyikannya di depan anak-anak dan orang sekeliling?
Tindakan yang cukup matang dalam rumah tangga adalah apabila anda menyembunyikan perasaan marah, emosi, kata-kata kesar dan perbuatan kasar. Baik isteri atau suami, jika anda memilih untuk cuba menyembunyikan keadaan sebenar, andalah wira sejati dalam perhubungan kekal abadi ini.
Jom lihat antara cara untuk anda mengawal tindakan anda apabila berada di khalayak ramai.
Berdiam Diri
Berdiam diri adalah lebih baik jika tiada perkataan baik yang hendak diperkatakan. Kata-kata yang dikeluarkan ketika berada dalam keadaan marah banyak dipengaruhi oleh syaitan yang datang menggoda. Ketika ini berdiam diri adalah jalan paling selamat. Lebih berhemah lagi terpuji.
Sibukkan Diri
Elakkan anak-anak berada dekat dengan anda jika bertelingkah di rumah. Sibukkan dengan pelbagai kerja rumah seperti memasak, membasuh pakaian atau apa jua aktiviti yang buat anda lebih relaks dan bertambah baik. Mungkin mengemas rumah menjadi terapi diri paling hebat untuk anda.
Lemparkan Senyuman Manis
Kawal kemarahan anda dengan sedekahkan sekuntum senyuman dapat mencairkan jiwa yang sedang ‘hangat’. Jika suami atau isteri buat hal di dalam kereta, jelinglah manja ke arahnya biarpun dia mengeluarkan kata-kata yang kasar kepada anda. Lemparkan senyuman manis untuknya. Kemudian barulah anda membalas dengan perlahan dan mengikut sahaja kemahuannya.
Kekalkan Panggilan Manja
Biarpun suami atau isteri sudah naik berangnya, sebaiknya sentiasalah kekalkan panggilan manja yang sering digunakan bersama. Panggilan sayang anda sudah cukup sempurna dan akan menyejukkan hati yang panas. Anak-anak dan orang sekeliling juga pastinya tidak perasaan akan perasaan marah ini. Mungkin mereka beranggapan anda hanya bergurau manja.
Buat Kelakar
Apabila bertengkar di rumah atau juga di luar, sesekali balaslah dengan usikan atau perkataan yang berbentuk humor. Humor bukan sahaja mendamaikan malah mampu mengubah mood menjadi lebih stabil. Orang disekeliling juga pasti tidak perasaan saat anda bermasam muka dengan suami. Biarpun hati pedih mendidih di dalamnya, kekalkan humor anda di luar dengan bersahaja.
Protes Tidak Puas Hati
Protes melalui silent mood ini lebih sesuai untuk pasangan suami isteri. Anak-anak juga pastinya tidak perasaan akan perbalahan anda. Pilihlah mesej ringkas, talian whatsApp atau apa jua yang lebih disukai anda untuk memulihkan keadaan.
Pelukan Erat
Jika suami atau isteri berada dalam keadaan tidak stabil, apa kata anda paut lengan pasangan anda dengan mesra dan peluknya seketika untuk meredakan jiwa. Orang sekeliling bukan halangan untuk anda memaut mesra pasangan yang sudah sememangnya halal untuk disentuh.
Sumber: keluarga.my & google (gambar)

