Autisme merupakan sejenis gangguan psikiatri atau gangguan perkembangan yang mengakibatkan masalah dalam komunikasi dan kemahiran sosial. Sebelum anak itu mencapai usia tiga tahu, gejala austisme itu sudah timbul. Gangguan neurobiologis yang merupakan penyebab autisme menjejaskan fungsi otak sehingga kanak-kanak itu tidak mampu berinteraksi dan berkomunikasi dengan dunia luar secara berkesan. Tidak seperti masalah Sindrom Down, ciri-ciri autisme tidak dapat dikesan sebelum, semasa atau selepas proses kelahiran kerana penghidap autisme selalunya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kelainan pada awal usia mereka. Apabila kanak-kanak itu berusia 18 bulan ke atas, barulah ciri-ciri autisme itu akan mula kelihatan.

Jika masalah ini dikesan dengan lebih awal, ia akan menyelamatkan keadaan dan melatih kanak-kanak untuk sekurang-kurangnya menguruskan diri sendiri. Rupa bentuk fizikal kanak-kanak yang mengalami autisme sama seperti kanak-kanak normal yang lain menjadikan masalah ini sukar dikenal pasti kecuali jika ibu bapa peka dengan simptom-simptom yang ditunjukkan secara konsisten oleh anak.

Setiap kanak-kanak yang menghidap autisme menunjukkan simptom yang berbeza antara satu sama lain. Perhatikan tanda-tanda atau simptom awal autisme ini pada anak anda dan cuba rawat seawal mungkin.

  • Tidak menunjukkan eye contact
  • Tidak bertindak balas terhadap senyuman
  • Mengamuk yang keterlaluan tanpa sebab sehingga mencederakan diri seperti menghantukkan kepala ke dinding
  • Lebih selesa bermain sendiri daripada berkawan dan bermain dengan kanak-kanak lain
  • Sering menyebut sesuatu perkataan secara berulang-ulang dan kerap melentikkan badan seolah-olah mengelak apabila dipeluk
  • Bukan sahaja suka mengibarkan tangan dan memusingkan badan setempat, malah mereka lebih suka menggunakan isyarat berbanding perkataan
  • Sukar berinteraksi dan berbicara
  • Sukar memberikan respon atau fokus kepada sesuatu benda dalam jangka masa yang lama
  • Gagal memberikan respon apabila namanya dipanggil atau ditanyakan soalan mudah

Autisme boleh terjadi kepada sesiapa tanpa mengira warna kulit, status sosial ekonomi atau pendidikan seseorang. Tidak semua yang menghidap autisme memiliki IQ yang rendah. Ada sebahagian daripada mereka mencapai pendidikan di peringkat tinggi malah ada juga yang mempunyai kemampuan luar biasa di dalam bidang tertentu seperti muzik, matematik dan sebagainya.

Sumber: azhan.co, siraplimau.com & Google (gambar)