Pakai Braces Bukan Trend. Semak Dahulu Perkara Ini
Isu braces palsu ini bukanlah sesuatu yang baru dan dah banyak pun peringatan telah diberi oleh pakar perubatan namun masalah ini masih lagi berlarutan sehingga ramai yang turut menjadi mangsa.
Pernah dengar bukan kisah seorang remaja wanita yang memakai braces dengan bermodalkan hanya RM580 dan tidak sampai sejam pakai terus rosak teruk?
Sebaiknya anda perlu tahu tujuan sebenar penggunaanya braces sebelum memakainya. Pemakaian braces bukanlah hanya untuk kecantikan semata-mata mahu pun mengikut trend semasa, tetapi ia lebih kepada rawatan gigi yang bermasalah.
Ketahui beberapa perkara ini terlebih dahulu sebelum anda buat keputusan untuk memakainya.
1. Sebelum memasang pendakap gigi, anda perlu berjumpa dengan pakar ortodontik untuk membuat pemeriksaan lanjut. Ujian X-ray akan dilakukan untuk menentukan jenis rawatan yang diperlukan. Sekiranya masalah serius, beberapa batang gigi perlu dicabut sebelum memasang pendakap.
2. Jika anda bercadang ingin membuat pendakap gigi selain di hospital kerajaan, sediakan sahaja wang di tangan paling tidak RM3000 atau lebih.
3. Rawatan bergantung pada jenis pendakap gigi yang anda gunakan. Paling sekejap setahun dan paling lama tiga tahun. Ia mengikut tahap penjagaan rapi setiap pemakai. Sekiranya anda malas menjaga gigi, maka lagi lama ia akan ditanggalkan.
4. Anda dilarang sama sekali mengunyah gula-gula getah, dodol, coklat, aiskrim dan juga makanan yang manis. Ini kerana ia menyebabkan berlakunya karies.
5. Setiap kali selepas makan, anda perlu memberus gigi dengan betul.
6. Seandainya si pemilik tidak menjaga dengan betul, getah atau pun besi pendakap boleh putus.
7. Selepas menanggalkan pendakap, anda perlu berjumpa doktor gigi sekerap yang mungkin untuk pemeriksaan. Si pemakai juga digalakkan memakai penahan (retainer) 24 jam untuk enam bulan pertama agar gigi benar-benar kukuh dan teratur.
8. Penjagaan yang tidak sempurna memerlukan tempoh yang agak lama untuk ditanggalkan.
Jenis Pendakap Gigi / Braces
Besi (Staineless Steel)

Pendakap jenis ini umumnya mempunyai dua jenis warna iaitu perak dan emas. Selain daripada itu, ada juga beberapa warna lain yang menjadi pilihan. Bagi mereka yang mementingkan harga, pendakap jenis ini menjadi permintaan tertinggi kerana murah daripada jenis lain
Ia elastik, membolehkannya ditukar pada bila-bila masa sahaja. Malah masa rawatannya sekejap berbanding yang lain. Besi merupakan jenis pendakap yang kuat serta tahan lasak. Anda tidak perlu takut kerana ia tidak mudah patah atau pun pecah.
Jika kamu tidak menjaganya dengan baik, anda berisiko mendapat ulser dan luka pada mulut.
Seramik (Ceramic or Tooth Coloured Braces)
Masih lagi di bawah kategori jenis pendakap tradisional, seramik lebih cantik daripada besi. Sama seperti di atas, ia juga sangat kuat dan tahan lasak. Paling penting, ia tidak jelas kelihatan ketika jarak jauh.
Anda juga rasa lebih selesa apabila makan kerana sisa-sisa makanan sukar untuk terlekat di celah-celah pendakap. Sudah tentu ini lebih mahal daripada besi, malah lebih besar.
Ada sesetengah individu tidak mampu menahan kesakitan apabila menggunakan pendakap gigi seramik kerana ia memberikan tekanan yang kuat pada struktur gigi.
Jernih (Clear Inspire Sapphire Braces)

Pendakap gigi ini lebih kurang sahaja dengan jenis seramik tetapi lebih jernih dan sukar untuk dilihat walaupun dari jarak dekat. Maka ia amat sesuai dipakai oleh kamu yang memiliki gigi putih berseri. Andai gigi kuning lebih elok gunakan jenis seramik.
Lebih besar dan lebih mahal daripada jenis tradisional. Materialnya sungguh memuaskan hati. Warnanya sungguh putih dan disebabkan itu ia hanya sesuai untuk mereka yang bergigi putih berseri.
Keadaan dawai besi (bracket) yang sungguh terperinci ini tidak memudahkan keregangan dan juga kekotoran dalam jangka waktu yang singkat. Rawatannya juga memakan masa berbulan-bulan untuk menjaga kualiti dan kebersihan oral.
Dalam (Lingual Braces)
Ada sesetengah individu tidak mahu dan malu memakai pendakap gigi kerana terang-terangan di mata orang yang melihat anda. Penyelesaiannya adalah doktor akan memberikan cadangan menggunakan pendakap gigi yang dipasang di bahagian dalam gigi
Ia amat rumit dan memerlukan rawatan hingga berbulan-bulan lamanya. Tidak semua doktor gigi mampu membuatnya tanpa latihan yang tepat. Pada mulanya, anda akan berasa susah untuk bercakap dan pastinya luka di bahagian mulut akan berlaku. Cuma anda kelihatan seperti biasa, tetapi hakikatnya anda sedang menggunakan pendakap gigi.
Sumber: remaja.com.my & google (gambar)

