Tidur yang cukup penting untuk bayi kerana ia akan memberi peluang kepada tubuh mereka untuk berehat selain sebahagian besar pertumbuhan otak berlaku ketika mereka tidur dengan nyenyak.

Kebiasaannya, bayi yang tidak mendapat tidur yang cukup akan meragam dan sering merengek hingga menjejaskan proses pembelajarannya selain memberi kesan kepada ibu bapa yang kepenatan.

Berikut adalah tip untuk melatih anak tidur mengikut waktunya dan membantu ibu bapa mendapat rehat yang cukup.

  1. Pada awalnya, setiap bayi mempunyai corak tidurnya yang sendiri. Namun, ketika usianya menjangkau tiga atau empat bulan, ibu bapa sudah boleh mula melatih mereka tidur mengkit jadual yang sesuai dengan kitaran tidur semula jadi bayi.
  2. Apabila bayi mula menggosok mata, bermain dengan rambut atau mula meragam selepas minum pada waktu tengah hari, itu adalah tanda bayi anda mengantu. Beri perhatian kepada tanda-tanda tersebut.
  3. Catat rekod mengenai tanda mengantuk yang ditunjukkan dalam tempoh seminggu supaya anda mengenal pasti corak tidurnya dan memudahkan anda merangka jadual tidur si kecil.
  4. Cuba tidurkan bayi pada waktu yang sama setiap hari. Bayi akan mengalami masalah sukar melelapkan mata jika jadual tidurnya berubah-berubah.
  5. Sekiranya jadual tidur bayi anda di rumah pengasuh adalah sekitar jam 3 petang, cuba teruskan waktu tidur yang sama ketika anda bercuti atau menjaga sendiri bayi pada ketika itu.
  6. Rutin tidur sekejap di siang hari dapat membantu anak anda berasa tenang dan membuatkannya lebih bersedia untuk tidur pada waktu malam.
  7. Amalkan membaca buku cerita, menyanyi atau membelai anak untuk membantunya berehat. Ini secara tidak langsung memberitahu si kecik waktu tidurnya sudah hampir.
  8. Pastikan bayi berpakaian selesa dan letakkan di atas tilam tanpa bantal, selimut atau mainan berada berhampiran.
  9. Ketika menidurkan bayi, elakkan bunyi kuat atau permainan yang merangsang mindanya.
  10. Tidurkan bayi di tempat yang sama setiap malam supaya bayi dapat mengaitkan tempat itu dengan perbuatan tidur.
  11. Jangan tunggu sehingga bayi terlalu penat untuk menidurkannya.
  12. Jangan gusar sekiranya pbayi gemar tidur dalam jangka masa yang pendek tetapi kerap. Janji si kecil tidak meragam dan ceria.
  13. Mandikan bayi dengan air suam dan dia akan merasa tenang serta mudah untuk tidur selepas itu.
  14. Amalkan rutin seperti mencuci muka, membersihkan gusi atau gigi, menukar lampin dan menukar baju membuatkan bayi selesa dan tahu sudah masuk waktu tidurnya.

Sumber: Harian Metro (11 Mac) & Google (gambar)